Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan sekeras-kerasnya bahawa dasar-dasar negara diubah sewenang-wenangnya atau akan berubah sehingga memerlukan sebuah suruhanjaya khusus bagi memastikan ia tidak berlaku.

Perdana Menteri berkata soal dasar negara diubah tidak pernah timbul, apa lagi untuk ia ditukar ganti sewenang-wenang.

"Soal mengubah sewenang-wenang, apa lagi ditukar sewenang-wenang, tidak pernah timbul," katanya ketika menjawab soalan wartawan pada akhir lawatan kerjanya selama dua hari ke Indonesia hari ini.

Ketika diminta mengulas kenyataan seorang wakil rakyat Johor mengenai perlunya suruhanjaya ditubuhkan bagi mengelak dasar negara diubah sewenang-wenang, Abdullah berkata, jika ada dasar negara yang perlu diubah, apa sahaja penyesuaiannya, ia dibuat berdasarkan maklumat dan fakta semasa yang perlu diambil kira.

Selepas mengambil kira semua itu, barulah tindakan yang sesuai diambil oleh kerajaan, katanya, sambil menyebutkan bahawa mengubah dasar negara sewenang-wenang tidak pernah dilakukan.

Bernama melaporkan, Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berada di Jakarta atas undangan Nahdatul Ulama (NU), untuk menyampaikan ucaptama pada Persidangan Cendekiawan Islam Antarabangsa anjuran NU yang berlangsung selama dua hari dan dihadiri 300 cendekiawan dari 53 negara.

Menjawab soalan wartawan Indonesia mengenai dakwaan Thailand bahawa rakyat Malaysia terlibat dalam aksi pengeboman di negara itu, Abdullah berkata warga Malaysia tidak pernah terlibat.

Suka jiran aman

"Warga Malaysia tak pernah terlibat. Di negara kami aman damai. Kenapa pula warga kami ingin berbuat sesuatu yang menimbulkan kekacauan di negara lain.

"Itulah seperti yang dikatakan oleh menteri luar Thai ini, nampaknya kalau berlaku sesuatu, dengan cepat beliau menuding jari ke arah Malaysia (kononnya) ini semua kerja Malaysia," katanya.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa Malaysia lebih suka melihat negara tetangganya sentiasa berada dalam keadaan aman dan selamat kerana kesusahan yang dialami jirannya, pasti turut menyusahkan Malaysia.

Mengenai penjenayah buruan utama pihak berkuasa Indonesia sekarang, Noordin Mohamed Top, Abdullah berkata polis Malaysia sentiasa memberi maklumat kepada polis Indonesia dan bekerjasama rapat membantu mengesan Noordin yang masih berada di republik ini.

Mengenai pembebasan Abu Bakar Ba'asyir, rakyat Indonesia yang dihukum penjara kerana didapati bersalah berkaitan tragedi pengeboman di Bali pada 2002, beliau berkata Indonesia tentunya telah mengambil kira semua aspek dan kemungkinan.

"Kalau Indonesia anggap sudah tiba masanya dan tak ada sebab lagi kenapa dia perlu ditahan, maka apa lagi yang perlu saya katakan. Itu merupakan perkara yang Indonesia telah lakukan dengan penuh tanggungjawab dan penuh memahami akibatnya, kalau ada, daripada pembebasan Abu Bakar Baasyir," katanya.