Walaupun mendakwa lawannya sedang bekerja keras untuk 'menggali kubur politiknya', namun Datuk S Subramaniam berazam akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden MIC dengan apa cara sekalipun.

"Terdapat kenyataan yang kurang menyenangkan, kempen tak berbudaya; mereka berusaha menggali kubur politik saya. Mereka (lawannya) mahu menjatuhkan saya dan menamatkan riwayat saya daripada aktif dalam arena politik.

"Keadaan amat sukar, saya telah dilukai, diserang dan dimalukan. Tetapi saya tidak minta apa-apa bantuan. Saya melakukannya sendiri dan tidak pernah menagih simpati," katanya.

Malah, menurut laporan Bernama, beliau yakin tidak akan 'dipinggirkan' dalam parti jika beliau mengekalkan jawatan Timbalan Presiden.

"Saya akan berfungsi. Saya tidak menjangka akan dipinggirkan. Saya menyertai parti untuk berkhidmat. Saya akan berkhidmat untuk anggota parti dan masyarakat sekiranya mereka melantik saya semula," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.

"Berdasarkan prinsip demokrasi dan rasa hormat kepada demokrasi, apabila rakyat memilih, tiada lagi pilihan lain untuk sesiapapun... mereka harus menerima (keputusan itu). Istilah dipinggirkan tidak ada bagi saya," kata Subramaniam, yang menjadi Timbalan Presiden parti sejak 1981.

Ahli politik berusia 64 tahun itu dicabar oleh Naib Presiden Datuk G. Palanivel bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang turut menyaksikan perebutan tiga jawatan Naib Presiden dan 23 tempat dalam Jawatankuasa Kerja Pusat.

Ujian paling getir

Pemilihan kali ini disifatkan antara yang paling hangat dalam sejarah parti selepas Subramaniam, lebih mesra sebagai Subra dalam MIC, mencabar presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu untuk jawatan tertinggi parti pada 1989.

Ini berikutan pertelagahan antara Samy Vellu dan Subramaniam menjelang pemilihan itu. Samy Vellu menamakan Palanivel sebagai pilihannya untuk jawatan Timbalan Presiden. Subramaniam kini dilihat mengharungi ranjau politik yang paling getir sejak menyertai MIC selama hampir 40 tahun lalu.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dipinggirkan selepas beliau tidak dicalonkan untuk mewakili Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 2004.

Beliau menghadapi satu-satunya ujian yang paling sukar sepanjang tempoh menjadi Timbalan Presiden apabila Datuk S. S. Subramaniam, Naib Presiden ketika itu, mencabar beliau untuk jawatan No. 2 parti pada 1994 dan tewas.

Pemerhati politik dari dalam dan luar parti, bimbang pertandingan antara Subramaniam dan Palanivel akan mewujudkan jurang yang sukar diperbaiki dalam MIC -- sebuah parti yang berbanding dengan saiznya, menyumbangkan undi yang amat berharga bagi kejayaan Barisan Nasional pada setiap pilihan raya umum.

Semasa ditanya sama ada pertandingan itu akan mengguris perpaduan parti, Subramaniam bersungguh-sungguh mengetepikan andaian itu.

"Saya tidak akan menyumbang kepada sebarang perpecahan dalam parti. Perpaduan itu paling utama dan kepentingan masyarakat India tidak boleh dilupakan. Saya sedia bekerja bersama presiden.

Media berlaku adil

"Perang psikologi dan drama semuanya akan berlaku. Masyarakat dan perwakilan tahu keikhlasan, sumbangan dan kesetiaan saya. Pada akhirnya, kebenaran akan terserlah," katanya.

Berikut adalah sebahagian daripada jawapan yang diberikan oleh Subramaniam pada persidangan akhbar itu:

S: Mengapa Datuk masih bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden selepas menjawat jawatan itu selama lebih 20 tahun?

J: Saya hanya bertanding bagi jawatan nombor dua...

S: Apakah yang terkandung dalam manifesto Datuk?

J: Saya tidak memerlukan manifesto, parti mempunyai manifesto dan saya sudahpun memberikan segala input saya pada mesyuarat CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat).

S: Adakah media bersikap adil kepada Datuk dalam pemilihan ini?

J: Kebanyakan media berlaku adil... mereka memberikan liputan yang secukupnya, termasuk penyangkalan saya. Bagaimanapun ada dua atau tiga individu (pemberita) yang berat sebelah dalam laporan mereka. Ada seorang yang menulis buku untuk pencabar saya dan meminta untuk menemubual saya tetapi tindakan ini tidak beretika.

S: Terdapat dakwaan bahawa dua akhbar harian berbahasa Tamil bersekutu dengan Datuk. Komen Datuk?

J: Mereka juga sepatutnya bertanya siapakah yang memiliki akhbar ketiga berbahasa Tamil.

S: Bagaimana dengan perjalanan kempen?

J: Terdapat percubaan halus oleh pihak yang tidak dikenali menggunakan taktik kotor. Ada kebimbangan bahawa jika saya bertemu perwakilan, mereka akan mengundi saya.

S: Nampak seolah-olah pertandingan sekarang antara Datuk dengan Samy Vellu. Adakah ini benar?

J: Bukannya Samy Vellu dengan Subramaniam, bukan dalam urutan begitu. Ia antara Subramaniam dan pencabarnya (Palanivel).

S: Apakah langkah seterusnya jika Datuk tidak memenangi pemilihan kali ini?

J: Perkara itu belum terlintas di fikiran saya...