mk-logo
Berita
Dua bekas wakil rakyat PKR sertai Parti Sarawak Bersatu
Diterbitkan:  May 30, 2020 11:55 AM
Dikemaskini: 6:24 AM

Dua bekas pemimpin tertinggi PKR Sarawak dan penyokong mereka menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) hari ini.

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Adun Batu Lintang See Chee How - secara rasmi menyertai PSB pada satu majlis hari ini di Kuching.

Sehingga akhir Februarilalu, Baru ialah pengerusi PKR Sarawak manakala See pula menjawat naib pengerusi PKR Sarawak.

PSB merupakan parti pembangkang yang berpusat di Kuching pimpinan Wong Soon Koh, yang membentuk parti itu setelah berlaku perseteruan dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

PSB kini mempunyai dua anggota Dewan Rakyat iaitu Baru dan Masir Kujat (Sri Aman) yang duduk bersama pembangkang.

Dengan kemasukan Baru dan See ke PSB, parti itu kini mempunyai enam anggota di DUN Sarawak - sama dengan jumlah yang dipegang oleh DAP.

Selepas pilihan raya negeri pada 2016, PKR menang tiga kerusi DUN. 

Baru dan Ali Biju (Krian) meninggalkan parti itu pada akhir Februari manakala See dipecat April lalu.

Wong berkata Baru dan See merupakan wakil rakyat "teladan" dengan "komitmen teguh" dalam berkhidmat kepada rakyat.

"Kami mengadakan pertemuan antara (pemimpin PSB) dan (dua wakil rakyat itu). Ini memberikan kami keyakinan untuk bekerjasama.

"Kami sangat gembira menerima Baru dan See ke dalam PSB," katanya ketika majlis menyambut kedua mereka pada hari ini.

Mengulas pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung tahun depan, Wong (gambar, bawah) berkata PSB bersedia bekerjasama dengan parti "yang berfikiran sama" untuk membentuk gabungan mengalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Baru mengakui bahawa beliau ditanya oleh penyokong mengapa dirinya dan See tidak membentuk parti baru.

Jelasnya, mereka akan kesuntukan waktu dalam mempersiapkan parti baru sebelum pilihan raya negeri, selain parti baru akan memecahkan undi pembangkang.

"Sebuah parti politik baru tidak diperlukan setelah mengetahui bahawa hasrat PSB serupa dengan hasrat kami," katanya.

Baru berkata beliau bercita-cita untuk melihat Sarawak menjadi sebuah negeri model dengan setiap rakyat Sarawak diperlakukan sama tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau juga mahu sumber daya alam semulajadi dipelihara dengan penuh tanggungjawab dan sebuah kerajaan bersih yang bebas daripada rasuah.

"Kami yakin dengan pengalaman selama 15 tahun sebagai menteri kewangan (Sarawak) yang berkebolehan dan memiliki portfolio kabinet lain, Wong berada dalam kedudukan unik untuk menerajui kami ke arah yang benar," katanya.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS