mk-logo
Berita
Adun Guar Chempedak dilantik pengerusi baru Keda
Diterbitkan:  May 30, 2020 2:47 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) hari ini mengumumkan pelantikan Adun Guar Chempedak Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang baru berkuat kuasa 1 Jun, 2020.

KPLB dipetik Bernama berkata ketokohan, keupayaan, kepakaran dan pengalaman luas Ku Abd Rahman diyakini dapat memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk kemajuan agensi itu pada masa akan datang.

"Sebagai agensi Kerajaan Persekutuan di bawah KPLB, KEDA dipertanggungjawabkan dalam pelbagai aspek pembangunan dan komited melaksanakan program pembangunan dan perkhidmatan yang berkualiti bagi memenuhi kepuasan pelanggan berteraskan perkhidmatan yang cekap, amanah, berkesan dan mesra bagi mencapai matlamat “Mensejahterakan Luar Bandar”," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 Mei lalu, Ku Abd Rahman antara 19 daripada 36 Adun Kedah yang mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar Mukhriz Mahathir.

Ku Abd Rahman pada November 2018 mengumumkan keluar daripada Umno, sebelum menyertai Bersatu pada tahun yang sama.

Beliau pernah menjadi exco kanan kerajaan negeri semasa pentadbiran BN sebelum ini.

Lihat Komen
ADS