Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak perlu tergesa-gesa ambil barang di asrama, kata Ismail Sabri
Diterbitkan:  May 30, 2020 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Penuntut yang cuba mendapatkan permohonan melakukan perjalanan rentas negeri bagi mengambil barang-barang mereka di asrama institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing tidak lagi perlu berbuat demikian, kata Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menurut menteri pertahanan itu lagi arahan yang dikeluarkan IPT terbabit agar penuntut mereka mengosongkan asrama sudah dibatalkan.

"Saya dapat maklmat daripada kementerian (pengajian tinggi) bahawa arahan untuk kosongkan barang-barang dalam dorm (asrama) sudah dibatalkan.

"Jadi tak perlu tergesa-gesa untuk pulang ke kampus masing-masing bagi mengambil barangan mereka," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri ditanya mengenai ada IPT yang mengarahkan penuntut masing-masing mengosongkan asrama. Arahan itu mendorong pelajar di IPT berkenaan membuat permohonan kepada polis bagi melakukan perjalanan rentas negeri.

Ismail Sabri tidak menamakan IPT berkenaan tetapi Malaysiakini difahamkan ia merupakan sebuah universiti awam di Lembah Kelang dan satu lagi di Pahang.

Ismail Sabri berkata perjalanan rentas negeri masih dilarang kecuali bagi kes kecemasan atau melibatkan pasangan suami isteri yang memang berada di lokasi berbeza kerana bertugas.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan kecuali untuk kes-kes kecemasan seperti kematian, sakit dan kes suami isteri terpisah," katanya.

Beliau juga berkata larangan perjalanan itu akan ditamatkan pada masa depan.

"Sampai masa kita akan benarkan, tapi buat masa ini tunggu dulu... bukan sekarang," katanya.

Kebanyakan penuntut IPT sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak akhir April lalu dan Kementerian Pengajian Tinggi memutuskan proses pembelajaran akan dilakukan secara dalam talian bagi sehingga akhir tahun ini.

Oleh itu semua barang penuntut berkenaan akan terus berada di asrama atau tempat penginapan masing-masing tanpa ada sesiapa menjaganya.

Keadaan itu mendorong beberapa IPT awam meminta penuntut masing-masing kembali untuk mengambil barang mereka.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS