Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waktu operasi mesin ATM kembali seperti biasa esok

Waktu operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) akan kembali seperti biasa mulai esok bagi memudahkan orang ramai membuat urusan perbankan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

"Bagaimanapun orang ramai mesti mematuhi penjarakan sosial ketika berurusan di mesin ATM," katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Waktu operasi mesin ATM sebelum ini dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) disusuli PKP bersyarat oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Pada 19 April lalu, kerajaan mengumumkan waktu operasi ATM hanya akan bermula 8 pagi sehingga 8 malam berbanding 24 jam sebelum ini bagi mengawal pergerakan orang ramai sepanjang tempoh PKP.

Langkah itu susulan laporan Polis Diraja Malaysia bahawa ramai orang memberi alasan ingin mengeluarkan wang di mesin ATM 24 jam untuk keluar dari rumah termasuk ketika lewat malam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata aplikasi MySejahtera akan memperkenal fungsi baru iaitu MySejahtera Check-In bagi pendaftaran dan pengawalan kemasukan pelawat secara berstruktur ke premis-premis perniagaan termasuk kilang, tapak pembinaan dan pejabat.

Katanya MySejahtera Check-In boleh digunakan bermula 2 Jun di tiga premis Aeon.

"Ini juga berfungsi membantu kerajaan dalam pengurusan dan pengawalan jangkitan wabak Covid-19 sewaktu pengoperasian semula ekonomi negara," katanya.

Ismail Sabri berkata aplikasi MySejahtera yang dibangunkan kerajaan bagi membantu pengawasan penularan Covid-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri, kini mempunyai 770,216 pendaftaran dan 929,276 penilaian kesihatan.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya memuat turun aplikasi itu di Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (Gamma) melalui Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS