Penduduk Orang Asli di Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam di Pahang berterima kasih kerana Pejabat Tanah Daerah Bera telah menghalau sekumpulan peneroka haram yang menceroboh tanah nenek moyang mereka.

Ketika meninjau kawasan berkenaan Sabtu lalu, mereka mendapati rumah-rumah yang dibina oleh peneroka haram tersebut, yang dikatakan berasal dari Selangor, telah dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Tiada apa yang tinggal termasuk pokok-pokok yang ditanam peneroka terbabit di kawasan yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Padang Kepayang.

Mereka juga tidak menemui 25 peneroka haram yang membina rumah di kawasan tersebut beberapa bulan yang lalu.

"Ini adalah hasil kecekapan tugas Pejabat Tanah Daerah Bera untuk memulangkan semula tanah nenek moyang kami itu," kata penduduk Bukit Rok, Bob Manolan Mohamad ketika dihubungi.

"Kami, penduduk Bukit Rok dan Ibam melahirkan rasa penghargaan kami dan berterima kasih, terutama kepada ketua Majlis Daerah Bera," kata Manolan, yang juga merupakan bendahari Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Menurut penduduk di situ, peneroka haram itu datang Padang Kepayang atas pelawaan 'seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang membenarkan mereka meneroka tanah tersebut selepas mengisi borang permohonan".

Dalam satu mesyuarat pada 22 April lalu antara wakil masyarakat Orang Asli dengan pegawai kerajaan negeri, pegawai dari Pejabat Daerah Bera menafikan yang mereka meluluskan penempatan peneroka terbabit.

Berikutan itu, pegawai terbabit berjanji untuk merobohkan sebarang bangunan yang dibina di kawasan tersebut secara haram.

Status tidak pasti

Walaupun gembira dengan perkembangan positif itu, tetapi seorang lagi penduduk, Romani Mohamad, menyuarakan kebimbangannya terhadap status dan keselamatan tanah nenek moyang mereka itu.

Dalam mesyuarat bulan lalu yang diadakan selepas penduduk berkenaan mengadakan bantahan terhadap kegiatan pembalakan di tanah nenek moyang mereka pegawai kerajaan negeri diberi tempoh sebulan untuk menentukan status sebenar tanah tersebut.

Pembalak berkenaan berkeras telah mendapat kebenaran kerajaan negeri untuk membalak di kawasan tersebut, tetapi penduduk di perkampungan sekitarnya mendakwa kawasan itu adalah tanah rezab Melayu sejak 1923.

Ketika dihubungi kemudiannya, Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri berkata kerajaan negeri belum lagi mengadakan mesyuarat kedua untuk mengumumkan hasil siasatannya terhadap status tanah terbabit.

"Kita percaya, tanpa usaha dan kerjasama semua pihak, tanah nenek moyang mereka akan hilang begitu sahaja," kata Romani dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh ketua kampung Bukit Rok dan Ibam.

"Kami berharap tanah Padang Kepayang akan diwartakan sebagai tanah rezab kekal Orang Asli. Ini akan memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi," tambahnya. Terjemahan