Isu merobohkan kuil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dilapor kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setelah gagal mendapat pembelaan di dalam negara.

Naib Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Manikavasagam berkata, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Hong Kong telah melaporkan perkara itu kepada PBB minggu lalu.

Katanya, laporan tersebut dibuat secara terperinci, lengkap dengan gambar yang menunjukkan operasi merobohkan kuil oleh PBT di negara ini.

"NGO itu juga terkejut kerana melihat gambar-gambar kuil yang dirobohkan sedangkan negara ini menjamin kebebasan beragama kepada rakyatnya," katanya ketika ditemui selepas menghantar memorandum membantah tindakan PBT merobohkan kuil kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di ibu negara hari ini.

Memorandum tersebut dihantar oleh Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat dan diterima oleh seorang kakitangan Istana Negara.

Manikavasagam berkata, sepanjang tahun ini sahaja, lebih 30 kuil terutama di Lembah Kelang telah dirobohkan dengan alasan tapak kuil diambil untuk tujuan pembangunan.

"Dalam tempoh 14 minggu lalu, sebanyak 17 kuil telah dirobohkan termasuk di Lembah Kelang, Kedah dan Negeri Sembilan walaupun ada yang berusia lebih 100 tahun," katanya.

Katanya, ia bukan sahaja berlaku di bandar, malah di beberapa kawasan perladangan termasuk ladang milik syarikat berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Sime Darby.

"Kita sudah acapkali merayu kepada pemilik ladang supaya mengalih atau melindungi kuil-kuil di ladang mereka tetapi mereka tidak mengendahkannya," katanya lagi.

Hantar memorandum

Manikavasagam berkata, pihaknya juga telah menghantar pelbagai memorandum kepada PBT dan pemimpin kerajaan supaya melindungi kuil tetapi tidak mendapat jawaban positif.

Beliau juga menempelak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu kononnya parti itu turut bertanggungjawab memastikan kuil-kuil terpelihara.

Sementara itu, penjaga kuil Sri Vaalmuniswarar Rajaamman Kovil di Cheras, Muniadi Subramaniam berkata, berpuluh anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang memusnahkan kuil tersebut pada 3 Mei lalu.

Katanya, alasan yang diberikan ialah tanah tapak kuil itu adalah hak milik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan walaupun ia telah berusia 60 tahun.

"Saya minta tempoh supaya operasi merobohkan kuil tersebut ditangguhkan selama tiga hari supaya dapat memindahkan patungnya, tetapi itu juga tidak diendahkan," katanya lagi.

Antara cadangan yang terkandung dalam memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, PKR meminta PBT dan Pejabat Tanah dan Daerah menghentikan segera perobohan kuil Hindu dan patungnya.

Selain itu, Manikavasagam berkata, memorandum itu menyarankan supaya tempat ibadat kaum Hindu diwartakan sebagai kawasan rezab kuil.

Katanya, setiap kawasan pertumbuhan bandar baru hendaklah diadakan kawasan untuk rumah ibadat kaum bukan Islam, termasuk kuil Hindu yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.