Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Segerakan sidang parlimen untuk semak dan imbang k'jaan
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 3:34 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa sidang parlimen diadakan segera dengan menegaskan ketiadaan sesi perbahasan semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini membuka ruang kepada salahguna kuasa kerajaan.

Presiden PKR itu mendakwa, ini menyebabkan ada individu "yang tidak layak" diberi jawatan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kalau tidak, segala kecurangan, segala kebobrokan, mengangkat orang yang tidak layak, ratusan ribu menganggur, isi perut tiga empat orang.

"Ini semua petanda tidak ada check and balance, tidak ada rundingan, tidak ada teguran, dan tidak ada semangat syura dan perundingan," kata Anwar dalam satu wawancara.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Anwar dipercayai merujuk pelantikan ahli politik dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini menyaksikan beberapa ahli politik yang masih dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan rasuah dilantik memegang jawatan penting dalam GLC.

"Ini sebab mengapa saya katakan perlu kita hidupkan semula semangat yang dirangka oleh bapa-bapa kemerdekaan dulu, apa dimaksudkan dengan demokrasi berparlimen.

"Kalau tidak, sepertimana sekarang, yang tak layak pun disumbat jawatan. Cakap bukan main ya, tapi ambil juga (jawatan).

"Ada kes baru-baru ini terlibat kes bersubahat rasuah, atau orang yang dipecat parti kerana SPRM kata harus dipecat orang ini, diangkat bagi jawatan," katanya.

Difahamkan, beliau merujuk pelantikan bekas ketua cabang PKR Bera, Zakaria Abdul Hamid mengetuai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baru.

Zakaria sebelum ini dipecat dari PKR kerana didakwa menawarkan projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kerja Raya untuk melobi undi dalam pemilihan PKR pada 2018.

Bagaimanapun, Zakaria menafikan sebarang salah laku. 

"Raja ikut perlembagaan, demokrasi ada parlimen'

Mengulas lanjut Anwar berkata demokrasi berparlimen, walau tidak sempurna, harus dihormati.

Tegasnya, sistem itu harus ditegakkan kerana berdasarkan kerangka inilah Malaysia didirikan.

"Dalam konteks moden sekarang ni, sidang parlimenlah syura dia.

"Adakah ia sempurna? Tidak.  Adakah demokrasi ini sempurna? dakk..

"Demokrasi kadang-kadang (ahli politik) sogok wang dia undi. Belum tentu dia yg terbaik. Kadang-kadang pilih orang dia kerja kayakan diri dia.

"Ada masalah-masalah ini kita tahu, tapi dengan segala keterbatasan ini, sistem negara kita itu meletakkan demokrasi berparlimen raja berperlembagaan, itu kerangka negara kita.

"Malaysia ini sistem apa? Raja ikut perlembagaan, demokrasi ada parlimen," tegasnya.

Lihat Komen
ADS