Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menegaskan bahawa sepanjang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan pusat sebelum ini, dia sering memindahkan isu-isu di luar skop tanggungjawabnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Dia mengulas mengenai laporan portal berita hari ini yang mendakwanya meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan pembekuan akaun bank taikun hartanah terkemuka. Laporan yang memetik sumber itu mendakwa tindakannya itu sebagai satu konflik kepentingan.

“Kes-kes yang tak berada di bawah bidang kuasa saya dirujuk ke pihak berkuasa berkaitan,” katanya kepada Malaysiakini.

“Pihak berkuasa berkaitanlah yang mempunya kuasa untuk bertindak,” tambah Lim.

Laporan Free Malaysia Today (FMT) itu dikatakan berdasarkan komunikasi antara Lim dan peguam negara ketika itu Tommy Thomas. Laporan itu mendakwa akaun bank berkenaan disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkaitan 1MDB.

Laporan itu turut mendakwa Lim bertindak demikian meskipun wang sebanyak RM4 juta itu gagal dipulangkan oleh taikun tersebut kepada kerajaan.

Pendedahan itu dilaporkan hanya kurang sebulan selepas anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz dilepaskan tanpa dibebaskan daripada lima pertuduhan pengubahan wang berkaitan 1MDB, dengan syarat sebahagian wang tersebut dikembalikan kepada kerajaan.

Riza, penerbit filem The Wolf of Wall Street dan Dumb and Dumber To mengaku tidak bersalah menerima sejumlah AS$248 juta (RM1.07bilion) antara 2011 hingga 2012.

Sementara itu, Lim berkata, adalah satu kesalahan sekiranya dia tidak merujuk kes-kes berkenaan ke pihak berkuasa yang berkaitan. Tambahnya, dia percaya Thomas telah bertindak dengan sewajarnya setelah kes berkenaan dirujuk ke AGC.

“Saya tak ada apa-apa akses kepada maklumat atau dokumen sedemikian, tak seperti FMT yang nampaknya ada akses penuh berhubung perkara tersebut,” kata Lim.

"Memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak pantas terhadap laporan oleh FMT, mereka haruslah diberi ruang untuk menjalankan penyiasatan mereka,” tambahnya lagi.

Menurut laporan FMT, Thomas dikatakan memenuhi permintaan yang dikatakan dibuat oleh Lim, hanya dalam tempoh dua minggu dan mengarahkan SPRM untuk membatalkan pembekuan terhadap keempat-empat akaun berkenaan.

Keputusan itu dibuat meskipun Thomas dikatakan telah dimaklumkan oleh SPRM bahawa sebahagian besar- kira-kira RM3.9 juta daripada wang berkenaan- tidak lagi ditemui dalam salah satu akaun bank yang dikatakan menerima dana tersebut.

SPRM berkata mereka sedang menyiasat mengenai pembocoran maklumat berkenaan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS