Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak tiri Najib dilepas tanpa dibebaskan
Diterbitkan:  May 14, 2020 11:13 AM
Dikemaskini: 4:31 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak, Riza Aziz daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion) yang dikaitkan dengan dana 1MDB.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk DNAA susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

“Mahkamah memutuskan DNAA untuk tertuduh. Wang jaminan RM1 juta akan dikembalikan kepada dua penjamin,” kata hakim.

Terdahulu, bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan untuk mengendalikan kes itu Gopal Sri Ram memaklumkan mahkamah bahawa sejak pertuduhan dikemukakan terhadap tertuduh, dia telah mengemukakan beberapa representasi menerusi peguam belanya kepada pihak-pihak relevan.

Katanya representasi berkenaan telah dipertimbangkan dengan teliti oleh pihak berkenaan dan keputusan telah dibuat seperti berikut:

“Satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

“Jumlah wang itu merujuk secara langsung kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini. Tertuduh sepanjang proses ini telah menerima representasi perundangan yang mencukupi dan kompeten.

“Hasil daripada persetujuan yang dicapai, dengan itu pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Pihak pendakwaan dengan persetujuan tertuduh kini dengan hormatnya memohon Mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh,’ katanya.

Sri Ram berkata sekiranya berpuas hari dengan pelaksanaan persetujuan itu, langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan tertuduh dibebaskan sepenuhnya.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan itu dan mendakwa tertuduh mengikut undang-undang,” katanya.

Peguam mewakili Riza, Hariharan Tara Singh mengesahkan kepada mahkamah berhubung persetujuan yang dibacakan Sri Ram.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini. Perbicaraan kes itu masih belum bermula.

Pada 5 Julai tahun lepas, Riza, 43, pemilik Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1,173,104 menerusi transaksi daripada akaun nombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Switzerland ke akaun nombor 123248291 City National Bank, Los Angeles, milik Red Granite Productions Inc.

Wang itu didakwa diseleweng daripada dana IMDB antara 12 April dan 12 Mei di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California.

Bagi pertuduhan kedua, Riza, anak Rosmah Mansor daripada perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$9 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun sama pada 10 Sept 2012, dan 10 Okt 2012, di premis sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan US$133 juta dan US$60 juta menerusi pemindahan wang daripada akaun nombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited, di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun nombor 6C02250A di BSI Bank Limited, Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012, dan 23 Okt 2012.

Bagi pertuduhan kelima, Riza dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$45 juta di tempat sama pada 14 Nov 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Lihat Komen
ADS