Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida: KPKT sedia timbang kaji undang-undang penjualan arak
Diterbitkan:  Jun 2, 2020 11:31 AM
Dikemaskini: 3:16 PM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia menimbang cadangan bagi mengkaji semula undang-undang melibatkan penjualan arak berikutan semakin banyak kemalangan jalan raya berlaku membabitkan pemandu mabuk akhir-akhir ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata sebarang keputusan berkaitan undang-undang melibatkan penjualan arak perlu dibuat secara teliti kerana ia melibatkan jangka masa panjang dan tidak boleh dilakukan secara ad hoc.

"Bidang kuasa panduan ia termasuk dalam bidang PBT (pihak berkuasa tempatan) juga, kita kena melihat statistik (secara keseluruhan) melibatkan kemalangan (jalan raya) disebabkan oleh arak ini.

"Kami tidak boleh membuta tuli membuat satu undang-undang berdasarkan ad hoc, kerajaan harus memikirkan masa depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau tapak menaik taraf Gerai Rakyat di Pekan Langkap di Teluk Intan, hari ini.

Zuraida berkata pada masa ini, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sedang meneliti beberapa perkara berkaitan isu penjualan arak yang perlu ditangani dari segi undang-undang penguatkuasaan dan hukuman yang perlu dikaji semula.

Baru-baru ini, semakin banyak berlaku kes nahas jalan raya membabitkan pemandu mabuk sehingga ada yang mengakibatkan kematian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS