Malaysiakini
BERITA

‘Andai kata saya perlu letak jawatan...’

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Jun 2020, 6:53 pagi

Timbalan Menteri Kerja Raya Shahruddin Md Salleh dilaporkan berkata bahawa beliau bersedia untuk meninggalkan Perikatan Nasional jika tindakannya itu akan menyaksikan Bersatu menjadi kuat dan terus hidup.

Menurut kenyataan Ahli Parlimen Sri Gading itu, sayangnya kepada Bersatu jauh lebih hebat berbanding kepada pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan presidennya Muhyiddin Yassin, kini tidak sehaluan dan membawa kepada perpecaghan parti.

“Saya nak lihat Bersatu kuat dan kukuh; sayang saya pada Bersatu mengatasi sayang saya pada Tun (Dr Mahathir) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin... Barang dijauhkan sekali parti Bersatu dilihat sebagai melukut di tepi gantang dan ahli-ahli awal yang tulin dalam perjuangan pula dipingggirkan,...

“Andai kata saya perlu letak jawatan sebagai timbalan menteri Kementerian Kerjaraya, saya akan letak jawatan, demi memperkukuhkan Bersatu, supaya masa sepenuhnya dapat saya tumpukan pada Bersatu,” katanya.

Untuk rekod, kenyataan Shahruddin disiarkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bersatu Armada di laman Facebook mereka awal hari ini. Malaysiakini sedang menghubungi Shahruddin untuk mendapatkan pengesahan dan ulasan selanjutnya.

Berikut disiarkan kenyataan penuh itu.

1. Masa berlalu begitu pantas, seumpama kilat, hari nie saya dah janji nak tulis lagi, tulisan lepas bertarikh 15 Mei, iaitu hari lahir saya.

2. Sebulan berpuasa di bulan Ramadan telah berlalu, dan sekarang kita pun sudah berada lebih seminggu di bulan Syawal, kita sibuk berpuasa enam sekarang.

3. Juga telah berlalu tarikh 18 Mei 2020, tarikh persidangan Dewan Rakyat penggal ini, tarikh yang cukup digeruni dan ngeri oleh sesetengah pihak, tidak boleh tidur lena dibuatnya.

4. Persidangan yang hanya merupakan hari Perasmian Dewan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

5. Tidak ada perbahasan, tidak ada soal jawab soalan-soalan lisan, luar dari kebiasaan, norma baru, agaknya takutkan Covid 19.

6. Dewan Rakyat akan disambung nanti bulan Julai, bulan depan, insya-Allah, semua kita ahli-ahli parlimen menunggu, penuh debaran. Siap, Jaga kau! (bahasa bangsa Johor).

7. Saya telah berkunjung hormat Tun Dr Mahathir Mohamad di Ibu Pejabat Bersatu pada jam 3 petang hari Jumaat 29 Mei lalu, yang pada mulanya patut berjumpa di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya.

8. Memang tak sabar-sabar nak jumpa Tun, pengasas Bersatu dan negarawan.

9. Tun selalu membebel dalam mesyuarat MPT berkenaan keahlian Bersatu, kesian pada Saudara Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi yang kena jawab, berapa ramai ahli Bersatu sekarang? Saya sebagai SUA kecut perut dibuatnya, itulah dia Tun,... tegas! No play play !!! Macam- macam hal berkenaan keahlian Bersatu dibangkitkan. Panas ..!

10. Saya berjumpa Tun hari Jumaat lepas antara lain sebagai reaksi surat SUK kepada Tun, yang kandungannya kata, Tun dah gugur keahlian Bersatu secara automatik, disqualified himself.

11. Pulak gitu.

12. Perlembagaan Bersatu ditafsirkan begitu, katanya oleh pakar undang-undang. Tun dah duduk di barisan pembangkang di Dewan Rakyat dalam persidangan bulan lepas. Maka Tun dah masuk pembangkang.

13. Saya tanya Tun, betulkah Tun dah masuk Parti pembangkang? Tidak sekali-kali katanya. Tun nafikan.

14. Saya ambik keputusan untuk menyertai PN dan menyokong Muhyiddin jadi PM. Beliau telah dapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat dari kalangan ahli-ahli Parlimen.

15. Sebagai ‘budak’ Muhyiddin pastinya saya amat gembira apabila beliau menjadi PM.

16. Saya bertanya pada diri sendiri, adakah Perikatan Nasional PN ini telah wujud sebagai badan sah? Lengkap dengan Perlembagaan dan pendaftaran ROS.

17. Sepanjang ingatan saya, PH adalah badan sah didaftar dengan ROS dan ada sijil pendaftarannya.

18. Pada saya, PN adalah sekadar nama badan persatuan tidak rasmi antara ahli-ahli Parlimen yang bersetuju Muhyiddin sebagai PM.

19. PN bukan gabongan parti-parti, apatah lagi saya belum lihat, kaji dan bahas sedalam-dalamnya Perlembagaan PN yang telah dibawa ke Perhimpunan Agong Khas atau setidak-tidaknya ke MPT dan telah sama-sama kita putuskan disitu bahawa Bersatu telah bersetuju masuk PN?

20. Tun tak masuk atau setuju dengan perkara 18.

21. Bolehkah ditafsir Tun masuk pembangkang? Sokong parti pembangkang.

22. Saya tak mahu lihat Bersatu lemah kerana kita berpecah dan berbalah. Boleh pengsan bila kita baca perbahasan kita dalam media sosial,... kita saling melondeh kain sendiri. Ditular dah tak ada segan silu lagi, mana kita dapat budaya begini rupa?.

23. Saya jugak tak mahu lihat Bersatu mati tidak berkubur, tidak berbatu nisan.

24. Saya sayangkan Bersatu, sayang sangat-sangat, ... betapa sukarnya membina Bersatu, susah payah lawan BN, ke sana ke sini bersama Tun dan Muhyiddin dan rakan-rakan versi 1.0.

25. Masa tu saya ADUN Jorak, ulang alik antara Ibu Pejabat Bersatu menjalankan tugas-tugas SUA dan menjaga kawasan di Pagoh, tidur dalam kereta di RnR tu biasa, itu belum lagi kempen road show Bersatu dan PH, Allah saja yang tahu betapa nikmat dan sengsaranya pada ketika itu.

26. Terkenangkan akan Tun M dan Tun Siti begitu komited berkempen, sana sini, utara selatan, timur barat, ribuan yang hadir. Kita menang bentuk kerajaan.

27. Majoriti yang masuk jadi ahli Bersatu adalah kerana Tun, bukan pasal nama saya, Shahruddin.tak siapa yang kenal. ADUN saja, exco pun tak, semasa dalam BN dulu, jasa pun tak ada.

28. Jasa Tun, umpama sebesar dan seberat bumi ini. Tanpa Tun, Bersatu akan terkujur layu, matilah Bersatu.

29. Hari ini hari Isnin, tanggal satu Jun tahun 2020, saya berjanji nak buat kenyataan, azam dan hala tuju saya dalam Bersatu dan Kerajaan, tidak ada niat lain saya..

30. Saya nak lihat Bersatu kuat dan kukuh; sayang saya pada Bersatu mengatasi sayang saya pada Tun dan Muhyiddin. Barang dijauhkan sekali parti Bersatu dilihat sebagai melukut di tepi gantang dan ahli-ahli awal yang tulen dalam perjuangan pula dipingggirkan.

31. Andai kata saya perlu letak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kementerian Kerjaraya, saya akan letak jawatan, demi memperkukuhkan Bersatu, supaya masa sepenuhnya dapat saya tumpukan pada Bersatu. Sebagai SUA pertama saya kenal KB, Srikandi dan Armada. Mengajak dan memujuk ahli-ahli yang ramai di bawah sana supaya tidak berbalah yang hanya akan melemahkan Bersatu. Ada yang dah merajuk, dah nak keluar Bersatu, saya kata, janganlah bertindak begitu,. Bersatulah.

32. Andaikata saya perlu meninggalkan rakan-rakan PN dan kembali semula kepada PH dan di situ ada jaminan bahawa Bersatu akan kuat dan terus hidup, maka saya akan juga sedia lakukan!

33. Akhir kalam untuk kali ini, cuba saudara berikan jawapan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya. Saya sekarang adalah ahli Parlimen Sri Gading. Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah tanpa bahas untuk menerima calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading di PRU15 nanti? PN atau PH? Itu jugak adalah jawapan kepada satu soalan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH? Saudara jawab.

Jaga jarak, jaga kesihatan, jaga Iman.


Shahruddin Salleh,  Ahli Parlimen Sri Gading P149.


Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.