Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan peguam tarik balik saman cabar sekolah Cina pada 2 Julai
Diterbitkan:  Jun 2, 2020 3:42 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 2 Julai untuk mendengar permohonan seorang peguam untuk menarik balik samannya bagi mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes hari ini.

Beliau juga mengarahkan plaintif, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan tiga pencelah dalam saman berkenaan iaitu Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil untuk memfailkan hujahan masing-masing sebelum 25 Jun.

Ketiga-tiga pihak itu yang diwakili peguam T Gunaseelan membantah permohonan Mohd Khairul Azam untuk menarik balik saman itu.

Peguam Abdul Rahim Sinwan yang mewakili Mohd Khairul Azam memberitahu pemberita, selain tiga pihak itu, dua defendan iaitu Kerajaan Malaysia dan Menteri Pendidikan serta 11 lagi pencelah tidak membantah permohonan anak guamnya untuk menarik balik saman itu.

Pada Januari, Mohd Khairul Azam memfailkan saman memohon diisytiharkan bahawa Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 12 Feb, Hakim Nordin membenarkan 14 parti politik dan organisasi untuk mencelah dalam saman itu.

Parti politik berkenaan adalah MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia manakala organisasi terdiri daripada Pertubuhan Generasi Baru Melaka, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak), Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil, kumpulan pendidik Cina iaitu Dong Zong dan Jiao Zong, Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Malaysia Tamil Neri Kalagam, Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil Malaysia dan SMJK Chong Hwa.

Mohd Khairul Azam, bagaimanapun, dilaporkan baru-baru ini memohon untuk menarik balik saman itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS