Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar mohon batal saman berhubung pengampunan penuh
Diterbitkan:  Jun 2, 2020 4:55 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan untuk membatalkan saman peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berhubung pengampunan penuh yang diberikan terhadap presiden PKR itu yang dipenjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam J Leela yang mewakili Anwar kepada pemberita selepas pengurusan kes secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rumaizah Baharom yang kemudiannya menetapkan 14 Ogos untuk pendengaran permohonan anak guamnya itu.

"Pendengaran permohonan Anwar selaku defendan kedua untuk membatalkan saman itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad," kata peguam itu.

Katanya, Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris yang mewakili Lembaga Pengampunan selaku defendan pertama turut memaklumkan pihaknya juga akan memfailkan permohonan sama (untuk membatalkan saman).

Leela berkata Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan itu pada 13 Mei lepas antara lain atas alasan Khairul Azam selaku plaintif tidak mempunyai locus standi atau kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan saman itu, tuntutan saman plaintif remeh, mengaibkan serta suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mohd Khairul Azam selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates pada 26 Feb lepas dengan menamakan Lembaga Pengampunan dan Anwar selaku defendan pertama dan kedua.

Mengikut penyataan tuntutannya, Mohd Khairul Azam berkata pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun, peguam itu mendakwa pada 9 Mei 2018, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan kerajaan baharu dibentuk, beberapa tindakan salah dan tidak berperlembagaan telah dilaksanakan bagi memastikan Anwar mendapat pengampunan dan dibebaskan daripada hukuman penjara yang sedang dijalaninya.

Dakwa plaintif, selepas dua hari kerajaan baharu dibentuk, perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media pada 11 Mei 2018, mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah bersetuju memberikan pengampunan penuh kepada Anwar.

Mohd Khairul Azam mendakwa pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar adalah bercanggah dengan Perkara 42(4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan berikutan kuasa pengampunan oleh YDPA hendaklah dilaksanakan dengan nasihat oleh Lembaga Pengampunan.

Dakwanya, Lembaga Pengampunan belum dibentuk dengan sempurna selepas pembentukan kerajaan baharu dan adalah mustahil bagi Lembaga Pengampunan dapat bersidang memberikan nasihat kepada YDPA bagi memberikan pengampunan kepada Anwar.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon pengisytiharan bahawa Lembaga Pengampunan telah ditubuhkan secara tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan bersidang dan seterusnya menasihati YDPA berkenaan rayuan pengampunan Anwar, mengakibatkan nasihat yang diberikan kepada YDPA adalah tidak sah dan terbatal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS