Pengerusi GLC perlu faham aspirasi, strategi k'jaan - Tajuddin
Individu yang dilantik menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memahami aspirasi dan strategi ekonomi kerajaan, kata Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd Tajuddin Abdul Rahman.
Beliau berkata pengetahuan dalam bidang perniagaan juga menjadi satu bonus kepada pengerusi yang dilantik mengetuai sesebuah GLC yang akan memberi manfaat kepada syarikat berkenaan.
"Mana-mana GLC sekalipun kena mengambil kira dasar-dasar kerajaan. Kalau faham aspirasi kerajaan maka pengalaman atau kedudukan sebagai seorang ahli politik akan memberi manfaat kepada syarikat itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat depoh MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) di Petaling Jaya, hari ini.
Tajuddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian ketika diminta mengulas pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar sebagai pengerusi baru subsidiari Petronas, MISC Bhd.
-Bernama

