Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah dalam proses naik harga tiket feri Langkawi
Diterbitkan:  Jun 2, 2020 9:02 PM
Dikemaskini: 1:02 PM

Kedah dalam proses menaikkan harga tiket feri ke Langkawi bagi membantu konsortium feri negeri itu bertahan di tengah-tengah pandemik Covid-19.

Menurut exco pengangkutan Kedah Azman Nasrudin, pihaknya sudah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan berhubung kenaikan wajar dan tidak membebankan penumpang, dan kini hanya menunggu persetujuan kabinet.

"Jadi kali ini kita sangat berharap Kabinet akan membuat keputusan yang baik bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada penumpang dan juga pengusaha feri Langkawi untuk kelangsungan syarikat," katanya di Wisma Darul Aman hari ini, seperti dipetik BH Online.

Pada masa ini, harga tiket perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi adalah RM23 sehala, manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi RM18 sehala.

Selain itu, Azman memaklumkan cadangan untuk meningkatkan kekerapan perjalanan feri dari Langkawi ke Kuala Kedah juga akan dibawa ke perhatian Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) berkaitan COVID-19 malam ini.

Katanya, ia bagi memastikan kitaran ekonomi dapat berjalan serta menyelamatkan sektor pengangkutan dan pelancongan yang terkesan akibat Covid-19.

"Kita mungkin tambah daripada dua kepada empat perjalanan sehari, namun ia memerlukan perbincangan terperinci dalam mesyuarat malam ini.

"[...] Setakat ini perkhidmatan feri di Kedah antara yang termurah berbanding negeri lain, saya yakin pengguna akan dapat memahami situasi ini bagi memastikan pengusaha feri dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik selepas ini," katanya lagi.

Selain itu, Azman turut menyuarakan cadangan agar subsidi diberikan kepada konsortium feri di Kedah bagi menampung operasi, ekoran pengurangan penumpang susulan pengamalan penjarakan sosial, selain jumlah perjalanan yang terpaksa dikurangkan daripada 10 ke dua perjalanan sehari ketika ini.

Lihat Komen
ADS