Manifesto BN-PN terperinci, Bersama tawar agenda reformasi, PH sentuh aspirasi
PRN MELAKA | Bahang pilihan raya semakin memuncak dengan ketiga-tiga blok utama sudah mengumumkan manifesto masing-masing ketika detik penentuan semakin menghampiri.
Malaysiakini meneliti tawaran tiga blok utama tersebut: BN- PN, PH dan Bersama.
Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan secara tradisinya merupakan kubu kuat BN. Namun, ketika kempen berlangsung, persoalannya ialah, sama ada PH mampu mempertahankan lima kerusinya atau tidak, serta kemungkinan Bersama mencipta kejutan.
Manifesto BN-PN mengguna pakai pendekatan kebajikan menyeluruh dari peringkat awal kehidupan hingga ke usia tua menerusi enam teras utama dan 113 inisiatif untuk menjadi pilihan pengundi.
Manifesto bertajuk Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara itu mencerminkan keyakinan gabungan berkenaan dengan kedua-dua gabungan berusaha mengukuhkan kedudukannya menerusi senarai panjang janji.
PH pula berusaha bangkit daripada kemerosotan prestasi mereka di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.
Gabungan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu berdepan cabaran mempertahankan lima kerusinya di Melaka.
Manifestonya – Melaka Rumah Kita – mencerminkan cabaran kempen mempertahankan kedudukan tersebut.
Ia menggariskan tiga janji utama dan 12 aspirasi teras, namun menawarkan perincian yang agak terhad mengenai cara janji-janji itu akan dilaksanakan.
Manifesto Bersama pula jauh lebih terperinci di sebalik usia parti itu yang masih sangat baru.
Selepas kehilangan semua deposit pada penampilan sulungnya dalam PRN Johor pada Julai lalu, ‘Parti Kancil’ itu dilihat menyusun semula pendekatannya dengan mengatur cadangan berdasarkan dua tonggak reformasi, iaitu tadbir urus dan sosioekonomi.
Ikrar selesai dalam dua minggu
Reformasi tadbir urus dan pentadbiran menjadi tumpuan utama manifesto Bersama, yang mencadangkan perubahan besar terhadap struktur pentadbiran negeri serta sistem demokrasi.
Antara cadangannya ialah sistem perwakilan berkadar yang membolehkan tujuh Adun lantikan dibuat berdasarkan agihan undi keseluruhan dalam PRN nanti.
Selain itu, Bersama mahu merasionalisasikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi negeri dengan mengehadkan jumlahnya kepada 30 bagi membendung kemungkinan ketirisan.
Bersama turut mencadangkan penubuhan lembaga profesional bebas untuk memantau kontrak perolehan kerajaan negeri yang bernilai lebih daripada RM10 juta.
Parti itu juga mahu setiap Adun mengadakan sesi aduan awam secara terbuka sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu – dengan kadar minimum lima jam – sebagai syarat untuk menerima peruntukan kawasan.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-06112026-26_452446.jpg)
Bersama turut berjanji menyediakan peruntukan sama rata kepada Adun pembangkang.
BN-PN pula memberi tumpuan kepada peluasan saluran penglibatan awam sedia ada, termasuk program Wakil Rakyat Untuk Rakyat ke semua 28 kawasan DUN.
Gabungan itu juga berjanji menyelesaikan aduan awam dalam tempoh dua minggu.
Ketika pelancaran manifestonya, pemimpin BN-PN mengetengahkan kadar pelaksanaan yang tinggi bagi janji dalam manifesto PRN 2021.
Bersandarkan kesinambungan itu, mereka mencadangkan penubuhan pusat pemantauan pelaksanaan manifesto bagi menjejak kemajuan setiap janji terbaru.
Janji pentadbiran lain termasuk meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan Data Raya.
Program perlindungan kesihatan
Sementara itu, PH mencadangkan transformasi Melaka menjadi "bandar pintar" dengan menjanjikan prosedur pentadbiran negeri yang lebih pantas, telus dan mesra pengguna.
Bagaimanapun, manifestonya tidak memperincikan bentuk transformasi itu atau cara ia akan dilaksanakan.
Bantuan menangani kos sara hidup dan kebajikan antara ciri paling menonjol dalam manifesto BN-PN, yang menggabungkan sokongan kewangan segera dengan bantuan bersasar mengikut peringkat kehidupan.
Bayi baru lahir akan menerima tambahan sekali beri RM100 ke dalam akaun Simpan SSPN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 1 Jan tahun depan, manakala pelajar SPM dan STPM boleh menikmati kelas tuisyen percuma.
BN-PN turut menjanjikan bantuan kebajikan kepada pesakit terlantar dan warga emas, selain perkhidmatan ambulans serta van jenazah percuma yang disediakan pihak berkuasa tempatan.
/file/attachments/orphans/ruff3_583928.jpeg)
Bersama pula mencadangkan sekurang-kurangnya 30 peratus perbelanjaan pembangunan negeri disalurkan secara langsung kepada program sosioekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Ia turut berjanji melaksanakan program perlindungan kesihatan di seluruh negeri, yang membolehkan isi rumah dengan pendapatan boleh guna bersih kurang daripada RM4,000 sebulan menerima RM500 setahun.
Bersama menganggarkan program itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 55,000 isi rumah dengan peruntukan yang dicadangkan sebanyak RM28 juta.
Bagi menangani kebimbangan mengenai peningkatan populasi warga emas di Malaysia, Bersama turut mencadangkan peruntukan RM5 juta untuk melatih dan memberi sijil kepada suri rumah serta wanita muda sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas secara profesional.
Tawaran aspirasi lebih meluas
Pendekatan PH pula tertumpu kepada bantuan kebajikan bersasar, khususnya untuk golongan wanita.
Antara cadangannya termasuk geran khas kepada usahawan wanita dan peluasan pusat jagaan harian yang dibiayai kerajaan negeri bagi membantu ibu bekerja.
Dalam aspek pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, BN-PN menggariskan agenda peluasan industri yang bercita-cita tinggi dengan sasaran menarik pelaburan baru bernilai RM30 bilion dan mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan menerusi pembangunan zon perindustrian baru serta sektor berteknologi tinggi.
Sebaliknya, PH bergantung kepada industri pelancongan Melaka yang sudah berkembang untuk memacu kegiatan ekonomi, dengan menetapkan sasaran menarik 25 juta ketibaan pelancong menjelang 2032.
Gabungan itu berhujah bahawa pengukuhan sektor pelancongan akan mewujudkan lebih banyak peluang dan aktiviti, sekali gus membolehkan penyedia perkhidmatan industri berkenaan meraih manfaat ekonomi.
PH turut berjanji memperuntukkan 30 peratus kontrak pihak berkuasa tempatan kepada golongan muda dan usahawan muda.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-06112026-40_340093.jpg)
Cadangan Bersama pula mengambil pendekatan berbeza dengan memberi tumpuan kepada usaha memastikan pembangunan berskala besar turut menyediakan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran kepada masyarakat tempatan.
Menerusi dasar peluang tempatan yang dicadangkan, pemaju yang memohon kelulusan perancangan bagi projek besar perlu mengemukakan pelan pengambilan pekerja tempatan, program perantisan berbayar dan pembangunan kemahiran.
Manifesto Bersama menyatakan penilaian impak sosial berkenaan akan menjadi syarat yang mengikat dari segi undang-undang bagi mendapatkan kebenaran merancang.
Bersama turut menekankan kelestarian fiskal dengan menyasarkan nisbah pertumbuhan hasil lima peratus kepada pertumbuhan perbelanjaan tiga peratus menjelang 2030 bagi memastikan projek yang dibiayai kerajaan negeri tidak mengalami defisit atau terbengkalai.
Bukan sekadar tentang Melaka
Secara keseluruhan, ketiga-tiga manifesto itu memperlihatkan pendekatan yang berbeza dalam usaha memikat pengundi Melaka.
BN-PN mengemukakan senarai janji paling menyeluruh, lengkap dengan sasaran khusus, peruntukan dan tempoh pelaksanaan meliputi 100 hari pertama, tahun pertama serta keseluruhan penggal lima tahun.
Bersama pula meletakkan parti itu sebagai alternatif berorientasikan reformasi ketika terus berusaha menarik sokongan pengundi PH yang kecewa.
Manifesto PH berbeza daripada kedua-duanya kerana mengemukakan aspirasi yang luas tetapi dengan perincian pelaksanaan, pembiayaan dan sasaran yang boleh diukur agak terhad.
Sebagai contoh, bagi menangani kebimbangan mengenai pemilikan rumah, BN-PN berjanji membina 25,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun serta menyediakan pinjaman perumahan sehingga RM80,000 untuk membina rumah di atas tanah milik sendiri.
PH pula berjanji untuk "memastikan setiap rakyat memiliki atau menyewa rumah yang selesa menerusi skim perumahan mesra rakyat".
Perbezaan antara ketiga-tiga manifesto itu paling ketara dari segi tahap perincian yang ditawarkan: BN-PN menekankan hasil yang boleh dicapai, Bersama mengemukakan reformasi institusi, manakala PH bergantung kepada komitmen dasar yang lebih luas.
Seperti yang pernah dinyatakan penganalisis politik Bridget Welsh, kedudukan sejarah dan politik Melaka yang tersendiri menjadikan negeri itu seolah-olah gambaran kecil politik Semenanjung Malaysia.
Selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan, PRN Melaka kini membawa kepentingan yang melangkaui sempadan negeri, dengan pemain politik di peringkat persekutuan turut memerhatikan keputusannya.
Persaingan itu berlangsung ketika spekulasi semakin meningkat mengenai kemungkinan PRU mengejut diadakan, dengan BN dan PN berpotensi cuba memanfaatkan momentum masing-masing.
Prestasi kukuh kedua-dua gabungan itu boleh menguatkan lagi perbincangan mengenai "gelombang biru" yang berpotensi membawa mereka ke Putrajaya.
Bagi PH pula, pertaruhan untuk Melaka tidak kurang besarnya . Kehilangan sokongan di negeri itu akan menambah siri kekalahan mereka, sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai kemampuan gabungan itu mempertahankan kedudukan dalam PRU mendatang.
PRN Melaka akan menguji apa yang menjadi pilihan pengundi, sama ada tawaran bersama BN-PN yang berteraskan rekod pelaksanaan, agenda reformasi Bersama atau aspirasi luas PH.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/324342324324342342b_869807.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.