Hindraf gesa kerajaan gubal undang-undang lindungi kuil
Barisan Bertindak Hak Agama Hindu (Hindraf) menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang yang mengiktiraf dan melindungi kuil Hindu di negara ini.
Barisan Bertindak Hak Agama Hindu (Hindraf) menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang yang mengiktiraf dan melindungi kuil Hindu di negara ini.
Pengerusinya, P Waythamoorthy, yang juga seorang peguam, berkata undang-undang sedia ada tidak memerlukan pihak berkuasa tempatan mendapatkan perintah mahkamah sebelum merobohkan kuil.
"Oleh kerana itu, para penganut dan jawatankuasa kuil tidak mempunyai tempat untuk mencabar tindakan tersebut," katanya kepada malaysiakini semalam.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan kerap menjalankan gerakan meroboh kuil atas alasan yang ia dibina secara haram walaupun ada antaranya dibina atas persetujuan kerajaan penjajah British.
Katanya, kelemahan tersebut telah mebolehkan pihak berkuasa tempatan terlepas daripada Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang menyatakan perbuatan mencemar atau mencabul tempat ibadat adalah satu kesalahan.
Penyelesaian kekal
Waythamoorthy juga tidak yakin dengan pengumuman Selasa lalu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan hanya memindah atau merobohkan kuil selepas mendapat pandangan sebuah jawatankuasa yang disokong oleh MIC.
Katanya, ia bukan suatu penyelesaian kekal bagi menangani isu tersebut.
"MIC mengambil langkah berundur ke belakang dengan hanya berbincang dengan DBKL. Adalah salah untuk mengatakan perkara itu (tindakan meroboh kuil) tertumpu di Kuala Lumpur sahaja," tambahnya.
Katanya, pendekatan yang lebih lengkap dan menyeluruh adalah bagi Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu untuk membawa perkara itu ke mesyuarat kabinet kerana ia adalah satu isu nasional.
Selain menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk meneliti perkara tersebut, Waythamoorthy juga menggesa kabinet supaya menyegerakan penggubalan Akta Kebebasan Beragama.
Dalam perkembangan berkaitan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menafikan tuduhan bahawa pihak pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) cuba mengambil kesempatan daripada isu kuil tersebut.
'Bukan ambil kesempatan'
Sebaliknya Naib Ketua Angkatan Muda PKR, S Manickavasagam berkata, para penganut dan penjaga kuil terbabit yang datang meminta bantuan daripada mereka.
"Mereka meminta bantuan kami kerana tidak ada tempat lain lagi untuk mereka berbuat demikian," katanya.
Sementara itu, Ketua PKR bahagian Segambut, S Maniselvam pula mempersoalkan mengapa baru sekarang MIC mahu menangani isu tersebut.
"Samy Vellu telah menjadi Presiden MIC sejak 27 tahun lalu. Mengapa baru sekarang (dia mahu mengambil tindakan)? Perkara ini sudah lama berlanjutan," katanya.
Semalam, Angkatan Muda PKR telah menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong menggesa supaya diberhentikan gerakan meroboh kuil Hindu di negara ini. Terjemahan

