Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Penangkapan pekerja hospital buat protes aman memalukan
Diterbitkan:  Jun 3, 2020 12:18 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah mengecam penangkapan lima ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) di Ipoh semalam, selepas membantah apa yang didakwa mereka sebagai taktik menyekat kegiatan kesatuan oleh majikan mereka, Edgenta UEMS.

NUWHSAS mewakili ahli para pekerja pembersihan di hospital kerajaan di negeri utara Semenanjung Malaysia.

"Ini memalukan dan tidak boleh dipandang ringan.

"Menutup suara petugas barisan depan adalah tidak adil dan kejam, serta menunjukkan kurangnya hormat terhadap mereka yang berdepan risiko setiap hari bagi melindungi kita daripada Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Semalam, polis menahan lima ahli kesatuan itu termasuk setiausaha eksekutifnya M Saraswathy ketika bantahan aman di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa setakat pagi ini, mereka masih dalam tahanan dan peguam masih menunggu maklumat lanjut daripada Pegawai Penyiasat.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang penjawat awam melaksanakan tugas, serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan berhubung perbuatan cuai dan menyalahi undang-undang yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya kepada nyawa.

Mereka juga disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Menurut Maria, pekerja yang ditahan semalam hanya menyuarakan kebimbangan terhadap layanan yang diterima majikan, termasuk tidak menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang mencukupi, penafian terhadap hak kesatuan dan pemaksaan menukar waktu bekerja.

"Pihak berkuasa perlu menyiasat syarikat berkenaan dakwaan ini," katanya lagi yang menggesa polis melepaskan mereka yang ditahan dan menggugurkan siasatan terhadap mereka.

Edgenta UEMS adalah syarikat pembekal perkhidmatan pembersihan hospital dan merupakan subsidiari penuh UEM Edgenta.

Dalam kenyataan semalam, UEM Edgenta berkata pihaknya mempunyai protokol tertentu bagi melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja.

Syarikat itu turut mendakwa mereka mempunyai saluran komunikasi dan komited untuk menyelesaikan masalah dalaman membabitkan pekerjanya secara aman.

Lihat Komen
ADS