Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil menduduki tempat kedua bagi 'Ratu Pecut Kabinet"

Menurut lamanweb rilek.com.my yang menyediakan perkhidmatan online bagi memudah pengguna jalanraya menyemak dan membayar saman trafik Shahrizat dikenakan 23 saman, semuanya bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman muncul sebagai 'Ratu Pecut Kabinet' dengan 28 saman bagi kesalahan trafik. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz pula di tempat ketiga dengan 10 saman sejak tahun 2003.

Semalam, malaysiakini tidak dapat menyemak rekod saman trafik Shahrizat kerana tidak mempunyai nombor kad pengenalannya. Bagaimanapun, pagi ini, seorang pembaca memberi butiran yang diperlukan untuk membuat semakan tersebut.

Semua saman ke atas Shahrizat yang belum dibayar, dikeluarkan sejak tahun 2001 dan kesalahan memandu melebihi had laju itu membabitkan sebuah kereta yang didaftarkan di bawah namanya. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan siapakah yang memandu kereta berkenaan ketika melakukan kesalahan tersebut.

Jumlah denda samannya ialah RM6,900 tetapi selepas diberi diskaun oleh pihak polis, menteri berkenaan hanya perlu membayar RM3,040.

Dan semakan terakhir dengan lamanweb rilek.com.my pada jam 3.15 petang tadi, menunjukkan Shahrizat telah membayar semua samannya itu.

Padu lebih had laju

Awal bulan ini, malaysiakini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah dikenakan 11 saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju serta kesalahan meletak kereta.

Abdullah dilaporkan berkata beliau tidak menyedarinya sehinggalah dimaklum kemudiannya mengenai saman tersebut.

Denda saman Abdullah pada asalnya berjumlah RM3,300 tetapi selepas ditolak diskaun oleh pihak polis, jumlahnya hanya tinggal RM1,000. Beliau telah membayar samannya.

Kelmarin, malaysiakini melaporkan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar juga mempunyai 89 saman trafik dengan denda saman berjumlah RM26,700 sejak enam tahun lalu.

Semakan dengan di Rilek.com pagi ini menunjukkan Tunku Ibrahim telah menjelaskan sebahagian besar saman trafik terhadapnya yang semuanya berjumlah RM26,700.

Tunku Ibrahim membayar kesemua saman kecuali tiga saman trafik yang dikeluarkan terhadapnya bagi kesalahan trafik di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Azalina dan Rafidah masih belum menjelaskan saman mereka.

Awal bulan ini, polis telah melancarkan 'Ops Warta IV' yang akan berakhir 5 Ogos depan untuk mengesan pemandu yang gagal membayar denda saman mereka.

Menurut polis, saman bernilai RM2.82 bilion yang dikeluarkan dari tahun 2001 hingga 2004 masih belum dibayar oleh 9.4 juta pesalah trafik. Terjemahan

Terkini: Semakan pada jam 6 petang, Rafidah juga telah membayar tujuh daripada 10 saman trafik terhadapnya.