Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pertukaran k'jaan Johor tetap stabil di bawah naungan sultan’
Diterbitkan:  Jun 3, 2020 5:32 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Seorang pemimpin parti Amanah hari ini tampil dan menjelaskan bahawa sebarang kerajaan negeri Johor yang ditukar akan tetap stabil selagi di bawah bimbingan dan naungan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Yunus, sekiranya kembali menjadi kerajaan di Johor, gabungan itu akan tetap taat serta setia tanpa berbelah bahagi kepada sultan Johor.

"Sebagai rakyat negeri Johor, patik menjunjung kasih atas keprihatinan titah Tuanku Sultan Johor tersebut dan bersyukur dilahirkan di negeri Darul Takzim.

"Sebarang pertukaran kerajaan tetap akan stabil di bawah bimbingan dan naungan Tuanku Sultan sebagai payung utama negeri.

"Sekiranya majoriti Adun Johor kembali mengekalkan keputusan rakyat pasca 9 Mei 2018, saya yakin PH akan tetap taat serta setia tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan dalam menjalankan amanah memaju dan memakmurkan rakyat negeri Johor jua," kata Hasanuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Ibrahim yang memberi amaran kepada wakil rakyat di negeri itu bahawa baginda akan membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Hasanuddin kalah semasa bertanding di DUN Rengit, Johor pada tahun 1999, 2004 dan 2008 di bawah tiket PAS, sebelum menang parlimen Hulu Langat di Selangor pada 2018 di bawah Amanah.

Menurutnya, titah Sultan Johor amat bertepatan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor yang menjadi model perlembagaan negeri-negeri lain dalam melindungi kedaulatan negeri-negeri Melayu sejak zaman-berzaman.

"Kepentingan rakyat menjadi keutamaan istana Johor dan kerajaan Pakatan Harapan dalam negara ini," katanya.

Terdahulu, melalui satu catatan di Facebook, Sultan Johor bertitah bahawa dirinya tidak akan membiarkan Johor dikucar-kacirkan.

“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta merta.

“Saya akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu, dan saya harap kali ini pilihlah pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri, bukan untuk parti atau diri sendiri,” titah baginda.

Perkara 23 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor menyebut baginda mempunyai kuasa untuk memulakan dan menangguhkan DUN, tetapi atas nasihat.

Begitu juga dengan Perkara 23(2) yang menyebut baginda mempunyai kuasa untuk membubarkan pada peringkat pertengahan, walaupun DUN belum berakhir, tetapi juga atas nasihat dan ini tertakluk kepada Perkara 7(1).

Lihat Komen
ADS