JKR tamatkan kontrak naik taraf jalan Gemas-Ayer Hitam
Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan supaya tindakan diambil terhadap kontraktor yang gagal mematuhi syarat kontrak yang melibatkan projek kenaikan taraf jalan Gemas-Ayer Hitam di Johor.
Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan supaya tindakan diambil terhadap kontraktor yang gagal mematuhi syarat kontrak yang melibatkan projek kenaikan taraf jalan Gemas-Ayer Hitam di Johor.
Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menghantar notis menamatkan kontrak tersebut kepada Perembun Konsortium.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S Samy Vellu berkata kontraktor tersebut adalah yang pertama menghadapi tindakan seumpama itu sejak pelaksanaan peraturan baru itu di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Projek itu dijalankan secara usaha sama antara Perembun dan sebuah syarikat lain. Ia membabitkan kerja menaik taraf jalan tersebut, dari dua lorong kepada empat lorong.
Menurut Bernama, bagaimanapun, pegawai kementerian berkata syarikat sebuah lagi itu tidak mengabaikan tanggungjawabnya, oleh itu ia dijangka dibenar menyiapkan projek pada tahun ini.
Samy Vellu berkata beliau telah menerima aduan dari orang ramai menerusi SMS mengenai projek itu dan kontraktornya.
"Saya telah mengarahkan pengarah jalan JKR untuk memeriksa sendiri projek itu dan melaporkan kepada saya, dan beliau telah melakukan ini," kata Samy Vellu.
Langgar kontrak
Katanya selepas membaca laporan itu, beliau telah mengarahkan tindakan diambil terhadap kontraktor tersebut.
Menteri itu berkata beliau telah juga mengarahkan jurutera daerah mengambil tindakan segera terhadap kontraktor sama ada besar atau kecil, jika mereka melanggar kontrak.
"Masa untuk mengeluarkan kenyataan dan amaran sudah berlalu. Kini, kita mula mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada kakitangan kementeriannya.
Peraturan baru itu yang antara lain, menyarankan tindakan pantas dan berat terhadap kontraktor yang melanggar kontrak mereka, dilaksanakan sejak pelaksanaan projek RMK9 Mei lalu.
Peraturan itu termasuk menamatkan kontrak syarikat-syarikat yang gagal memula atau menyiapkan projek mereka tidak mengikut jadual dan spesifikasi.
Menteri itu berkata beliau akan mendapatkan kebenaran Perbendaharaan bagi mengambil tindakan terhadap kontraktor lain bila keadaan memerlukan.
"Kementerian saya telah diberikan tanggungjawab besar oleh Perdana Menteri dan Kerajaan, dan kami berhasrat menjalankannya dan mempastikan kejayaan pelaksanaan dengan apa cara pun," ujar beliau.

