Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun Selat Kelang dilantik pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia
Diterbitkan:  Jun 3, 2020 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Asari, menjadi ahli politik terkini yang dibawa menduduki kerusi tertinggi agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan GLC.

Abdul Rashid yang juga Adun Selat Kelang di Selangor hari ini diumum akan menjadi pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Hal itu disahkan oleh LLM dalam satu catatan ucapan tahniah di Facebook hari ini.

Menurut LLM, pelantikan tersebut berkuat kuasa pada 1 Jun.

Selain Adun, Abdul Rashid juga merupakan pengerusi Bersatu Selangor dan menjadi satu-satunya wakil rakyat parti itu yang tidak menjarakkan diri dengan parti berkenaan selepas berlaku Langkah Sheraton.

Selain Abdul Rashid, Bersatu mempunyai epat lagi Adun masing-masing mewakili kawasan Kuang, Batang Kali, Jeram dan Dengkil.

Sebelum ini Abdul Rashid merupakan exco kebudayaan dan pelancongan, peradaban melayu dan warisan Selangor.

Pada Jumaat lalu, Abdul Rashid dikompaun RM1,000 selepas didapati melanggar perintah kawalan pergerakan bersyarat kerana menganjurkan jamuan Aidilfitri yang dihadiri lebih 20 tetamu.

Abdul Rashid merupakan seorang peguam, juga naib presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Pada 19 Mei lalu, Abdul Rashid mengumumkan sokongan Bersatu Selangor kepada presiden parti itu, Muhyiddin Yassin, dalam pertikaian dengan pengerusi Dr Mahathir Mohamad, serta menyatakan perlembagaan parti menunjukkan Mukhriz Mahathir perlu dipecat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS