Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maklum balas lapangan tunjuk tanda sangat positif buat PH - Fuziah

PRK CHINI | Tinjauan lapangan menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mendapat maklum balas positif untuk bertanding bagi mencabar BN awal bulan depan.

"Ya, kita sudah selesai (membuat tinjauan lapangan) dan hasilnya sangat positif," kata Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh, kepada Malaysiakini.

Justeru kata ahli parlimen Kuantan itu lagi, pihaknya sedang menunggu keputusan akhir daripada pemimpin di peringkat pusat sebelum menentukan langkah selanjutnya.

"Sekarang terserah kepada PH pusat untuk membuat keputusan masuk bertanding," katanya.

Terdahulu, Fuziah diminta mengulas mengenai dapatan tinjauan lapangan yang dilakuklan oleh PH sebagai langkah menghadapi PRK pada 4 Julai ini.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pada 20 Mei lalu berkata partinya masih membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil sebarang keputusan.

Menurutnya, PKR telah mengarahkan Fuziah untuk membuat tinjauan di lapangan termasuk peluang untuk memenangi PRK itu.

"Beliau (Fuziah) akan memberikan laporan kepada pusat. PKR masih menunggu laporan itu untuk mengambil langkah seterusnya," kata Saifuddin lagi.

Sementara itu, Fuziah berkata PH Pahang akan bersetuju dengan sebarang keputusan yang diambil majlis pimpinan pusat gabungan berkenaan.

"Kalau setuju (untuk bertanding), PH Pahang bersetuju dengan calon PKR (yang dikemukakan dari pusat).

"Dan, jentera pun sudah bersedia untuk menghadapi PKR Chini," katanya.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon ialah pada 20 Jun ini manakala tarikh mengundi - jika ada pertandingan - dijalankan pada 4 Julai.

Pada 1999 PKR pernah menawan kerusi DUN Chini daripada BN dengan majoriti tipis. Namun dalam pilihan raya selepas itu ia kekal di tangan BN.

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS