Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan Pemuda dan Wanita Umno Kelantan kerana gagal menghadiri perbicaraan kes khalwat.

Hakim Zulfikri Yasoa mengeluarkan waran tangkap tersebut terhadap Abdul Rahim Mohamad, 41 dari Pekan Tok Uban, Pasir Mas dan Suria Mohd Noor, 39, dari Kampung Baung, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Mereka ditangkap oleh sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah hotel di Jalan Raja Laut pada 18 Januari lalu.

Mereka dipercayai datang dari Kelantan dan bermalam di hotel tersebut sebelum ditangkap oleh penguatkuasa Jawi hasil maklumat awam.

Abdul Rahim dan Suria telah diperintahkan supaya menghadir perbicaraan kes mereka itu Selasa di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, tetapi kedua-duanya tidak menghadirkan diri.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes tersebut diadakan semula pagi ini, tetapi kedua-dua mereka masih gagal hadir di mahkamah.

Berikutan, Pegawai Pendakwa Syarie, Maizura Shamsuddin membuat permohonan kepada Hakim Zulfikri supaya mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan tersebut.

Arah ikatjamin RM3,000

"Tertuduh Abdul Rahim menelefon saya bahawa beliau akan hadir pada perbicaraan pagi ini dan saya memberitahu beliau, jika tidak datang, waran tangkap akan dikeluarkan," katanya.

Hakim Zulfikri menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh baru perbicaraan tersebut.

Jika tertuduh dapat ditangkap, hakim juga mengarahkan supaya mereka masing-masing membayar ikatjamin RM3,000 sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Maizura berkata, Abdul Rahim ditangkap di bawah Seksyen 27(A) dan Suria di bawah Seksyen 27 (B) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Katanya, mengikut akta itu, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Maizura memberitahu malaysiakini, bahawa siasatan pihaknya mendapati pasangan tertuduh itu adalah ahli Pemuda dan Wanita Umno di tempat masing-masing.