Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MPT Bersatu sahkan Dr M, 4 yang lain bukan lagi ahli parti
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 11:54 AM
Dikemaskini: 4:34 AM

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam mengesahkan keahlian Dr Mahathir Mohamad, terhenti secara serta-merta.

Selain Dr Mahathir, pemberhentian serta-merta itu turut melibatkan Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malik.

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat itu turut mengesahkan keputusan parti berkenaan untuk keluar daripada PH, yang menurutnya dimuktamadkan dalam mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu.

"Dengan pengesahan dan ketetapan yang diambil mesyuarat MPT semalam, saya menyeru kepada ahli dan pimpinan akar umbi untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air," kata Hamzah dalam kenyataan.

Untuk rekod, Dr Mahathir sebelum ini mendakwa mesyuarat MPT pada hari tersebut tidak pernah memuktamadkan keputusan itu. Anggota MPT A Kadir Jasin, yang menyokong Dr Mahathir, juga mendakwa sedemikian.

Keputusan untuk membawa Bersatu keluar daripada PH oleh presiden parti, Muhyiddin Yassin, yang ditentang Mahathir dan penyokongnya, telah mencetuskan rantaian peristiwa yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan PH setelah tidak sampai dua tahun memerintah.

Ia juga menyebabkan konflik dalaman Bersatu menjelang pemilihan parti itu.

Mesyuarat semalam dipengerusikan presiden Muhyiddin Yassin di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM). Ia berakhir kira-kira pukul 11.40 malam, dan Muhyiddin enggan bertemu media yang telah menunggu sejak sebelum mesyuarat bermula.

Abu Bakar, Akramsyah dan Ulya Husamudin

Beberapa anggota MPT Bersatu yang diketahui berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad pula meninggalkan mesyuarat lebih awal, iaitu kira-kira pukul 10.45 malam, apanbila tidak berpuas hati dengan beberapa isu dibangkitkan.

Mereka ialah ialah Abu Bakar Yahya, Akramsyah Sanusi, Tariq Ismail dan Ulya Husamudin yang juga ketua penerangan Armada.

Dalam mesyuarat semalam, MPT Bersatu turut mengesahkan beberapa langkah dan keputusan yang dibuat parti itu sebelum ini, seperti pelantikan Muhyiddin selaku pemangku pengerusi, dan penyingkiran Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung.

Berkenaan kedudukan Muhyiddin sebagai pemangku, Hamzah berkata ia selaras dengan Fasal 16.9 perlembagaan parti setelah peletakan jawatan oleh Dr Mahathir pada 24 Februari lalu.

"MPT menyokong dan memberi mandat penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan," katanya lagi.

Begitu juga dengan pelantikannya menggantikan Marzuki, yang menurut Hamzah "sah dan teratur" mengikut perlembagaan susulan MPT sebelum ini telah mengesahkan pemberhentian keahlian Marzuki.

Sementara itu, Hamzah berkata MPT turut mengesahkan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah setiausaha kerja yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatanganinya terpakai secara rasmi.

Suhaimi sebelum ini merupakan penandatangan surat makluman pemberhentian keahlian terhadap Mahathir dan empat yang lain, yang bertarikh 28 Mei.

Bagaimanapun mereka mempertikaikan penyingkiran itu dan menyifatkannya tidak sah, antara lain mempersoalkan kuasa setiausaha kerja.

Menurut Mahathir, jawatan itu tiada dalam perlembagaan parti dan tidak mempunyai apa-apa kuasa pun berdasarkan perlembagaan parti.

Lihat Komen
ADS