Undi pasukan kita! Itulah rayuan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu kepada 1,441 perwakilan ke pemilihan parti itu Sabtu ini.

Katanya, mereka perlu mengundi pasukan Presiden supaya MIC kekal relevan dan dihormati.

Samy Vellu merujuk kepada calon pilihannya sebagai "Pasukan Kita".

"Angin perubahan sudah tiba dan perwakilan telah menerima pasukan saya demi menambahbaik rakyat dan parti," katanya.

Bercakap kepada RTM dan Bernama hari ini, Samy Vellu berkata, hujahnya berdasarkan kepada maklum balas dari perwakilan semasa lawatannya ke seluruh negara baru-baru ini.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya memilih naib presiden MIC yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G Palanivel untuk mencabar penyandang Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam untuk jawatan nombor dua itu.

Jawatan lain untuk rebutan ialah tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Pasukan presiden

Dipanggil "Pasukan Presiden", barisan Samy Vellu termasuk penyandang Datuk S Veerasingam dan Tan Sri K S Nijhar serta Setiausaha Agung Datuk S Sothinathan bagi tiga jawatan naib presiden.

Samy Vellu menjelaskan, beliau memilih pasukannya selepas melihat prestasi mereka dan mengambilkira kecemerlangan mereka, sambil berkata: "Kita perlu perubahan...kita perlukan tenaga baru, pemikiran baru".

Samy Vellu berkata, beliau telah berada dalam parti selama 43 tahun dan dalam tempoh 23 tahun lalu, beliau telah membina parti itu menjadi sebuah pertubuhan yang amat disegani.

Katanya, menerusi sokongan ahli parti, MIC telah dapat menyempurnakan universiti pertamanya, Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asian (AIMST) di Kedah.

"Masalah manusia adalah masalah terbesar kami. Kita perlukan pemimpin berkebolehan untuk menangani dan menyelesaikannya.

"Dengan tidak berbuat sesuatu ketika memegang sesuatu jawatan bukan kriteria untuk dipilih semula," tambahnya.