Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM: Ahli Armada ditahan bantu siasatan kes kehilangan wang Syed Saddiq

Seorang ahli Pemuda Bersatu (Armada) yang bertindak sebagai bendahari sebuah pertubuhan belia ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wang milik bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pengarah Siasatan SPRM Norazlan Mohd Razali berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM selepas hadir memberi keterangan kes tersebut.

“Dia direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin bagi membantu siasatan kes itu,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 Jun, seorang pemimpin Armada ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan kehilangan wang lebih RM200,000 dari kediaman Syed Saddiq, dan susulan itu SPRM membuka kertas siasatan bagi kes itu pada Mac lepas.

Norazlan Mohd Razali

Sementara itu, dalam perkembangan lain, SPRM membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook ‘Ulya Husamudin’ berhubung posting mendakwa SPRM menyiasat beberapa exco Armada bermotifkan politik.

Norazlan berkata laporan polis itu dibuat di Ibu pejabat Polis Putrajaya hari ini terhadap penama akaun Facebook berkenaan.

Beliau berkata penama akaun Facebook itu telah membuat pertuduhan liar menyatakan SPRM menahan empat ahli Armada iaitu Adam Mukhriz, Hannan Khairy, Redzuan Shafi dan Daniel Khusairi yang dikatakan telah dibuat tanpa mengikut prosedur dan undang-undang.

“Ini merupakan suatu tohmahan berbaur fitnah dan saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa siasatan SPRM bukan bermotifkan politik tetapi berkaitan kes kehilangan wang seorang pemimpin Armada serta penyelewengan dalam akaun Armada.

“Sekali lagi saya menegaskan bahawa siasatan ini bukan bermotifkan politik dan berharap semua pihak menghentikan sebarang bentuk spekulasi dan memberikan kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS