Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM9 bilion bagi tangani pengangguran dan pengekalan pekerjaan - PM
Diterbitkan:  Jun 5, 2020 4:56 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Perdana Menteri Muhyiddn Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM9 bilion bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan pengekalan pekerjaan susulan Covid-19.

Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), perdana menteri berkata ia bakal dimanfaatkan kira-kira 3 juta tenaga kerja melalui beberapa inisitiaf.

"Pertama, Perluasan Program Subsidi Upah bernilai RM5 bilion. Sejak diperkenalkan dalam Pakej Prihatin dan Prihatin PKS Tambahan, program subsidi upah telah disambut baik oleh pekerja dan majikan.

"Program selama tiga bulan ini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan. Bagi membantu syarikat dalam tempoh peralihan pembukaan semula ekonomi, kerajaan akan melanjutkan subsidi upah ini selama tiga bulan lagi.

"Kedua, Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion," katanya ketika mengumumkan Penjana yang disiarkan secara langsung hari ini.

Muhyiddin berkata, insentif pengambilan pekerja akan membolehkan majikan atau syarikat menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia.

Kata Muhyiddin, dianggarkan 300 ribu pencari kerja akan mendapat manfaat melalui insentif itu.

Insentif itu terbahagi kepada dua iaitu insentif RM800 sebulan bagi setiap pekerja sekiranya menggaji penggangur berumur di bawah dan RM1,000 sebulan selama enam bulan sekiranya menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan orang kelainan upayan (OKU).

Bagi membantu dan menggalakkan penganggur meningkatkan kemahiran, elaun latihan sehingga RM4,000 boleh dituntut daripada Perkeso oleh mereka yang hilang pekerjaan, meskipun mereka bukan pencarum di bawah Skim Insurans Pekerjaan.

"Bagi menangani isu kadar pengangguran belia dan meningkatkan kebolehpasaran graduan, kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menyediakan peluang perantis kepada lepasan sekolah dan graduan pada kadar RM600 sebulan.

"Inisiatif seterusnya ialah kerajaan akan memperuntukkan RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Ini akan memanfaatkan lebih daripada 200 ribu orang," katanya lagi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata di bawah Penjana, kerajaan telah mengenal pasti tiga teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

Secara keseluruhan, kata Muhyiddin, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah Penjana dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Pelan jangka pendek dengan tema 'Bersama Menjana Ekonomi' itu merupakan strategi kerajaan di bawah fasa pemulihan dalam cabaran menangani Covid-19.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS