Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Di tengah-tengah apa yang dilihat sebagai 'pembersihan' dalam PKR masih dilakukan, ketua sayap Wanita parti itu yang kini digantung Haniza Talha hari ini melancarkan NGO yang dinamakan sebagai Nation of Women (NOW).

Bercakap dalam sidang media selepas pelancarannya, NGO itu dilancarkan untuk menjadi platform kepada golongan wanita yang ingin memberi sumbangan kepada rakyat, terutama mereka yang dipecat daripada PKR.

"Pertubuhan NOW adalah sebagai respon kepada pemecatan ahli PKR secara beramai-ramai...Akar umbi wanita yang telah dipecat, bakal dipecat ataupun digantung oleh PKR, masih ingin menyumbang kepada masyarakat dari segi sosial dan kebajikan.

"Seperti yang semua tahu, status saya sebagai ketua Wanita PKR telah pun digantung. Walaupun saya masih ahli PKR, saya dan ramai lagi anggota PKR tidak dibenarkan untuk bergerak diatas nama parti.

"Oleh itu, saya mengambil inisiatif ini untuk menubuhkan NOW di mana wanita yang telah dipinggirkan dapat meneruskan gerak kerja di kawasan masing-masing tanpa menghadapi tekanan daripada pimpinan parti," katanya yang juga Adun Lembah Jaya.

Haniza Talha

NOW menyusuli penubuhan Pemuda Negara pada April yang ditubuhkan Adun Gombak Setia Hilman Idham dan Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin. Hilman telah dipecat daripada PKR manakala Afif digantung keahliannya.

Ketiga-tiga mereka adalah antara pemimpin PKR yang dilihat sebagai penyokong bekas timbalan presidennya Azmin Ali.

Ditanya jika NOW akan bergabung dengan Pemuda Negara untuk membentuk sebuah parti baru, Haniza berkata buat masa ini tiada rancangan sedemikian dan mereka memberi tumpuan melaksanakan kegiatan sebagai NGO.

"Saya tak tahu tentang itu. Kita tiada perancangan...Saya tak tahu apa yang akan berlaku di masa depan.

"Tumpuan kita adalah pembangunan wanita...Berkenaan politik, ia tiada kaitan dengan NGO ini," katanya yang menggesa pimpinan PKR tidak melihat NOW sebagai ancaman.

Menurut Haniza, beliau masih menunggu PKR untuk melakukan siasatan disiplin berkenaan dakwaan beliau bertemu dengan Azmin dan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Turut hadir sebagai ahli NOW adalah Timbalan Wanita PKR Daroyah Alwi dan Syarul Ema Rena Abu Dhabi, bekas ketua penerangan Wanita PKR yang telah dipecat. Naib Presiden PKR Tian Chua juga hadir memberi sokongan.

Ada spekulasi bahawa Tian Chua juga dijangka menubuhkan NGO sendiri, tetapi apabila ditanya tentangnya, beliau berkata tidak wajar untuknya membuat pengumuman di acara kumpulan lain.

Beliau berkata orang ramai perlu membezakan antara parti politik dengan NGO.

"Itu agak mustahil," katanya ketika ditanya berkenaan khabar angin penubuhan parti baru oleh bekas ahli PKR yang menyokong Azmin.

Lihat Komen
ADS