Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perbezaan dengan ahli politik lain mungkin menyebabkan Mohd Redzuan Md Yusof menjadi 'mangsa' dalam spekulasi berhubung peletakan jawatan anggota kabinet Muhyiddin Yassin sejak akhir-akhir ini, kata ahli parlimen Alor Gajah itu.

Menjawab soalan media yang berkumpul di rumahnya di Kajang hari ini, Mohd Redzuan berkata beliau tidak tahu mengapa dijadikan bahan dalam spekulasi berkenaan.

“Tidak tahulah kenapa saya (dikaitkan dengan spekulasi perletakan jawatan), mungkin saya ini berbeza kerana bukan dari parti Umno, PAS, DAP atau PKR sebelum ini,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu Mohd Redzuan disebut-sebut akan meletak jawatan bersama seorang lagi ahli parlimen Bersatu, Shahruddin Md Salleh.

Ia dikaitkan dengan langkah awal yang akan membawa Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan selepas berlakunya Langkah Sheraton baru-baru ini.

Bagaimanapun, Redzuan menjelaskan bahawa beliau tidak mengadakan sidang media, malah selepas berjam-jam pegawainya menafikan ahli parlimen Alor Gajah berkenaan bercadang untuk berjumpa wartawan pada ketika itu. 

Bagaimanapun hari ini Mohd Redzuan sekali lagi menafikan beliau bercadang meletak jawatan.

Semalam Shahruddin mengumumkan beliau melepaskan jawatannya sebagai timbalan menteri kerja raya dan bertemu Dr Mahathir Mohamad sejurus selepas itu.

Untuk rekod Shahruddin adalah ahli politik yang dianggap dekat dan setia kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, kerana pernah menjadi setiausaha politik bekas menteri besar Johor terbabit.

Shahruddin juga dipilih menjadi setiausaha agung pertama Bersatu. 

Sementara itu, ditanya berkenaan kemelut yang dihadapi Bersatu, Mohd Redzuan berkata beliau kini lebih komited untuk membentuk pelapis bagi parti tersebut.

“Saya lebih hendak bentuk pelapis iaitu dari Armada dan Bersatu untuk memastikan bahawa terdapat kesinambungan dalam parti,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS