Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yuran universiti: Pelajar minta kurangkan, pensyarah berbelah bahagi

Setelah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan semua sesi pembelajaran bagi mahasiswa diteruskan melalui pengajian atas talian, timbul gesaan agar yuran pengajian diturunkan.

Antaranya oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menyifatkan langkah itu wajar di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi pada masa ini yang memberi kesan kepada rakyat, termasuk pelajar dan keluarga mereka.

Menurut PKPIM lagi, cadangan itu dibuat setelah mengambil kira program akademik menggunakan kemudahan persendirian, bukannya infrastruktur universiti,

Bagaimanapun, para pensyarah masih berbelah bahagi berkenaan gesaan berkenaan kerana menyifatkan usaha untuk melaksanakan pembelajaran atas talian tidak kurang sukarnya.

Bagi pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Thalib, yuran perlu dikekalkan kerana universiti masih dibuka meskipun pembelajaran dibuat secara atas talian.

“Universiti masih dibuka, pembelajaran, penyeliaan, pemeriksaan masih berjalan maka yuran juga harus dibayar seperti biasa.

“Ini kerana tenaga pengajar masih bertugas seperti biasa menyediakan bahan mengajar, rakaman video mengajar, nota atas talian, menyediakan soalan dan kuiz, semakan esei dan tesis semuanya mengambil masa, tenaga, dan kepakaran," katanya kepada Malaysiakini.

Kartini

Pensyarah kanan Jabatan Komunikasi Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Norbaiduri Ruslan menyifatkan pembelajaran dalam talian menuntut mereka lebih peka terhada keperluan pelajar.

"Tenaga pengajar dan pentadbiran masih menguruskan satu entiti yang tetap menjalankan tugas hakikinya di tengah-tengah pandemik," katanya lagi.

Harus segera diubah 

Berbeza dengan pensyarah Universiti Islam Malaysia (UIM) Dr Abdul Latiff Abu Bakar yang merasakan pengurangan yuran sebanyak 10 peratus wajar dipertimbangkan.

Antara sebab yang diberikannya adalah sesi pembelajaran pada masa ini tidak lagi serancak dulu, di mana pensyarah perlu bersemuka dengan mahasiswa.

"Dalam keadaan sekarang kena bertimbang rasa sedikit. Saya rasa kerajaan wajar pertimbangkannya. Kalau (pengurangan) dalam 10 peratus juga sudah cukup baik," katanya lagi.

Syed Saddiq

Isu yuran pelajar universiti turut mendapat perhatian bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berkata menerima aduan bahawa yuran pengajian berjalan seperti biasa walaupun ketika tiada pengajian ketika tempoh awal PKP.

"Walaupun rata-rata telah pulang ke rumah dan pengajian tidak lagi berjalan, yuran masih lagi sama dikenakan. Bagi saya, ini harus segera diubah,” kata Syed Saddiq.

Bagi mahasiswa pula, pastinya mereka setuju dengan gesaan itu ekoran dampak pandemik Covid-19 dalam bulan-bulan mendatang.

Bagi mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ammierul Mukminin Mohammed, penurunan tersebut dapat membantu para ibu-bapa yang kemungkinan terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan buat masa ini.

“Ada (ibu-bapa) yang mungkin hilang kerja lepas itu kena bayar yuran anak. Mungkin dengan penurunan dapat kurangkan beban ibu bapa pelajar,” katanya.

Ammierul

Begitu juga dengan mahasiswa Kuala Lumpur Metropolitan College (KLMUC) Carmilya Aina Hamizon yang membangkitkan perbelanjaan tambahan yang perlu dikeluarkan sendiri untuk pembelajaran dalam talian, seperti membeli data internet.

“Jika yuran universiti dikurangkan, ini dapat mengurangkan beban pelajar kerana mereka boleh mengeluarkan wang untuk membeli internet bagi mengikuti kelas secara talian.

“Selain itu, kebanyakannya masih ditanggung keluarga dan ada keluarga yang hilang punca pendapatan. Amatlah berharga buat mahasiswa jika yuran itu dapat dikurangkan," katanya lagi.

Menurut laporan Berita Harian pada 1 Jun lalu, KPT sedang mengkaji isu tersebut dan kaedah penyelesaian terbaik sedang dibincang bagi menyelesaikannya.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak mengakui kos pengajian kini menurun kerana kemudahan di universiti, seperti asrama dan bilik kuliah, tidak lagi digunakan sepenuhnya.

"Isu yuran sedang kami kaji, akan ada berita gembira," katanya seperti dipetik.

Bagi universiti swasta pula, Kementerian Pendidikan menerusi garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah menyarankan agar mereka mempertimbang penyelarasan semula yuran pelajar.

Menurut garis panduan itu, universiti swasta haruslah mengambil kira pembayaran perkhidmatan yang tidak dapat disediakan sepanjang PKP seperti pengangkutan dan kegiatan pembelajaran, selain situasi ibu bapa atau penjaga pelajar yang terjejas akibat PKP.

Lihat Komen
ADS