Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno ajak kerajaan, pembangkang buat gencatan politik
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 11:33 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Pemuda Umno Malaysia menggesa semua ahli politik agar melakukan “gencatan politik” sebagai langkah membantu merealisasikan agenda pemulihan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Kata ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tempoh tiga ke enam bulan akan datang merupakan waktu paling getir buat rakyat untuk kembali menyesuaikan diri dalam kehidupan yang kian mencabar kesan serangan wabak Covid-19.

“Bagi merealisasikan agenda pemulihan ekonomi rakyat ini, Pemuda Umno menyarankan agar ahli-ahli politik - tidak kira dari gabungan dalam kerajaan mahupun pembangkang - dapat segera melakukan gencatan politik buat seketika.

“Penggemblengan usaha ke arah membela nasib rakyat yang kian resah dan susah harus menjadi keutamaan ketika ini berbanding perkiraan untung rugi politik jangka pendek dan perebutan kuasa berterusan yang hanya akan memudaratkan rakyat dan negara jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gesaan Asyraf Wajdi itu hadir ketika ada pihak meramalkan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat bertahan lama dan pertukaran kerajaan akan berlaku dalam waktu terdekat.

PN dibentuk apabila segelintir pemimpin kanan PKR meninggalkan parti itu dan berpakat dengan sebahagian besar pemimpin Bersatu untuk meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Mereka kemudian bekerjasama dengan Muafakat Nasional - yang menyatukan Umno dan PAS - serta disokong oleh parti komponen BN dan Gabungan Parti Sarawak.

Gerak jentera ke seluruh negara

Untuk rekod, PN - yang didakwa memiliki majoriti tipis berbanding PH - menjadi kerajaan tanpa mandat daripada rakyat yang mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Sejak beberapa hari lalu juga politik negara diwarnai dengan beberapa isu seperti peletakan jawatan timbalan menteri dan pertukaran sokongan ahli parlimen kepada PN.

Dalam kenyataan sama, Asyraf Wajdi juga mengulas mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam.

Katanya ia dianggap pelan yang menyeluruh dan mencakupi semua golongan rakyat.

Meskipun berdepan tohmahan sesetengah pihak, kata Asyraf Wajdi, Penjana adalah bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya lagi, Pemuda Umno akan menggerakkan seluruh jenteranya di 191 bahagian bagi memantau pelaksanaan Penjana dan memberikan maklum balas dari semasa ke semasa kepada kerajaan.

“(Ini) bagi memastikan segala objektif pemulihan ekonomi negara mampu direalisasikan,” katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS