Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rentas negeri: Orang bujang diminta sabar tunggu pengumuman PM esok
Diterbitkan:  Jun 6, 2020 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Bagi orang bujang yang ternanti-nanti berita berhubung kebenaran merentas negeri setelah hampir dua bulan tak dibenarkan pulang ke kampung, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob meminta mereka bersabar sedikit masa lagi.

Dalam sidang media hariannya di Putrajaya hari ini, Ismail memberi bayangan bahawa pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat oleh perdana menteri esok.

“Saya difahamkan esok perdana menteri akan mengumumkan sesuatu jadi kita tunggulah. Saya takut nanti saya umum berbeza pula, atau pun nanti saya umum lebih awal daripada perdana menteri, tak boleh.

“Jadi besok perdana menteri akan mengumumkan sesuatu, tentu sajalah banyak perkara yang akan disebut. Jadi kita tunggulah. Lepas tu kalau (perdana menteri) tak sebut, baru saya sebut.

“Okey? Untuk orang bujang, bersabar sehingga esok,” katanya tadi.

Beliau menjawab soalan pemberita yang bertanyakan mengenai status perbincangan mengenai kebenaran merentas negeri buat golongan bujang, di kala pasangan suami isteri yang terpisah dan mereka yang ingin bernikah sudah dibenarkan untuk merentas negeri.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, perjalanan rentas negeri adalah dilarang sama sekali, kecuali dengan kebenaran pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu.

Antara kelonggaran yang diberikan adalah kebenaran perjalanan rentas negeri untuk mereka yang terkandas bukan di negeri tempat tinggal akibat penguatkuasaan PKP, serta kebenaran untuk pelajar yang terkandas di kampus masing-masing sepanjang tempoh PKP.

Bermula 1 Jun, larangan rentas negeri turut ditarik balik buat beberapa urusan, iaitu kerja, perubatan, kecemasan, dan juga pasangan suami isteri yang terpisah antara negeri gara-gara PKP.

Pada 2 Jun, Ismail turut mengumumkan kebenaran tersebut turut diberikan kepada pasangan dari negeri berbeza yang ingin melangsungkan pernikahan.

Negera kini berada dalam fasa PKP bersyarat (PKPB), yang dijadualkan tamat pada 9 Jun nanti.

Bagaimanapun, setakat ini, masih belum ada pengumuman rasmi sama ada PKPB akan disambung lagi atau pun tidak.

Sementara itu, menyentuh mengenai peluasan kapasiti solat Jumaat dan jemaah yang dibentangkan hari ini dalam mesyuarat khas menteri-menteri pagi tadi, Ismail berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju kapasiti itu diluaskan berdasarkan keluasan sesuatu masjid.

Untuk rekod, berdasarkan garis panduan sebelum ini, jumlah jemaah yang dibenarkan hanyalah maksimum 30 orang sahaja untuk masjid dan surau terpilih.

“Asalkan ada penjarakan sosial di dalam masjid tersebut, maka kita tak ada halangan untuk membuka kepada orang ramai bersembahyang jemaah.

“Kalau masjid itu besar, sebagai contoh Masjid Putrajaya, penjarakaan satu meter mungkin boleh (memuatkan) sehingga 200 ke 300 jemaah, maka sebanyak itulah jemaah (yang dibenarkan)," kaatanya.

Namun, jelasnya lanjut, setiap perkara berkaitan agama harus mendapat kelulusan daripada raja di setiap negeri dan Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak beraja, dan memaklumkan setelah mendapat kelulusan berkaitan, perkara itu pasti akan diumumkan oleh menteri hal ehwal agama.

Disoal mengenai kelonggaran operasi bagi pusat tusyen pula, Ismail meminta semua pihak menunggu pengumuman daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Lihat Komen
ADS