Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang akan membangkitkan isu penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dalam sidang Parlimen yang disambung semula minggu depan serta membawa usul mengenai bantahan pasukan polis terhadap penubuhan suruhanjaya tersebut.

Katanya, beliau akan merujuk kepada lamanweb rasmi pasukan polis yang menggariskan bantahan dan tindakan balas yang akan diambil oleh pasukan polis sekiranya cadangan penubuhan IPCMC sepertimana yang disyorkan oleh Suruhanjaya Diraja Polis dilaksanakan.

Dalam kenyataannya, Lim menyifatkan bantahan pihak polis terhadap penubuhan IPCMC itu sebagai bertentangan dengan kehendak kerajaan dan demokrasi berparlimen.

Katanya, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar cuba meredakan keadaan tersebut dengan mendakwa risalah berkenaan hanya bertujuan untuk diedarkan kepada anggota pasukan polis, dan bukannya untuk disiarkan dalam lamanweb rasmi pasukan tersebut.

Lim berkata, apa yang lebih penting ialah kandungan risalah tersebut manakala penerbitannya dalam lamanweb rasmi pasukan berkenaan, merupakan isu kedua.

Katanya, tindakan seumpama itu tidak boleh diterima sama sekali kerana ia bertentangan dengan kedudukannya pasukan itu yang menguatkuasakan undang-undang tanpa memihak, secara profesional dan tidak terbabit dalam politik.

"Parlimen dan Kabinet mesti dengan jelas menyatakan bahawa ia tidak membenarkan penentangan dan cabaran secara terbuka terhadap prinsip-prinsip asas demokrasi dan urustadbir yang baik, oleh pihak polis selaku pelaksana dan bukannya pembuat dasar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, tindakan disiplin mesti diambil terhadap mereka dalam pasukan polis yang terbabit dengan tindakan tersebut.

Pulih keyakinan rakyat

Lim juga menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, harus mengambil sikap yang jelas dan tegas di Parlimen Isnin ini mengenai penubuhan IPCMC sebagai bukti bahawa beliau masih berpegang kepada janjinya untuk membawa pembaharuan dalam pentadbirannya ke arah memulihkan keyakinan rakyat.

Katanya ini kerana isu mengenai pasukan polis dan IPCMC akan menjadi fokus utama sidang Parlimen yang akan disambung semula Isnin ini selama 14 hari sehingga 18 Julai depan.

Lim berkata, beliau akan menyoal Perdana Menteri mengenai kemajuan kajian Peguam Negara berhubung cadangan penubuhan IPCMC dan sama ada kerajaan masih berpegang kepada janjinya untuk menubuhkan IPCMC bagi mewujudkan pasukan polis yang berkelas dunia.

Menurutnya, Abdullah perlu menghilangkan anggapan bahawa beliau telah menolak isu IPCMC kepada Peguam Negara, sedangkan sebagai pegawai undang-undang kerajaan, peranan Peguam Negara hanyalah untuk memberi nasihat dan tidak mempunyai kuasa membuat dasar.

"Abdullah perlu memberi penjelasan sejelas-jelasnya Isnin ini sama ada IPCMC ditubuhkan atau tidak ianya adalah persoalan dasar yang perlu diputuskan oleh Perdana Menteri, Kabinet serta Parlimen dan bukannya Peguam Negara," tambahnya..

Lim berkata, Perdana Menteri tidak harus tunduk kepada tekanan dan ancaman sama ada dari pihak polis atau segelintir Ahli Parlimen dari Umno, ataupun menteri-menteri yang didakwanya telah dipengaruhi oleh pihak polis supaya membantah penubuhan IPCMC walaupun tindakan itu bercanggah dengan kepentingan awam.

Selain itu, katanya, beliau juga akan membangkitkan isu pembatalan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor, perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat dan Laporan Pendidikan Tinggi Zahid.

Selain itu, katanya, beliau juga akan bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai pusat latihan sukan bernilai RM490 di Hertfordshire, London dan sama ada wang tersebut dibelanjakan secara lebih produktif untuk mempromosi budaya sukan dan mencari bakat baru..