Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Perjalanan rentas negeri dibenarkan mulai 10 Jun
Diterbitkan:  Jun 7, 2020 3:34 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), orang ramai sudah boleh membuat perjalanan rentas negeri mulai 10 Jun ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, orang ramai sudah boleh pulang ke kampung untuk menziarahi keluarga dan ibu bapa masing-masing.

Bagaimanapun pergerakan rentas negeri di kawasan yang dikenakan perintah kawalan dipertingkatkan (PKPD) tidak dibenarkan, katanya.

"Mulai 10 Jun perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD.

"Jadi bagi mereka yang nak ziarah ibu bapa berjauhan di negeri lain, bolehlah...Cuma nasihat saya sentiasa jaga kebersihan diri pakai pelitup muka tempat awam elak tempat sesak.

"Ingat jika ibu-bapa (golongan) warga emas, mereka kategori mudah terdedah jangkitan, walau seronok dapat ziarahi mereka, tanggungjawab kita ialah lindungi mereka daripada jangkitan," katanya lagi.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) pada 4 Mei, kerajaan tidak membenarkan orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri.

Ia termasuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung bulan lalu.

Hanya mereka yang mempunyai kebenaran pihak berkuasa bagi tujuan tertentu seperti urusan kematian ataupun kerja dibenarkan melakukan pergerakan rentas negeri.

Bagaimanapun selepas PKPB berakhir 9 Mei nanti, orang ramai dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Sambutan Aidiladha dibenarkan

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa sambutan hari raya Aidiladha dan ibadah korban dibenarkan dengan tertakluk prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sambutan hari raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.

"Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah-rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi," katanya lagi.

Selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik juga akan dibenarkan.

"Jadi saudara-saudari bolehlah membawa keluarga untuk melancong di dalam negeri dengan mengamalkan kebiasaan baru atau 'new normal' setelah hampir tiga bulan tidak ke mana-mana," tambahnya lagi.

.Bagaimanapun bagi mereka yang ingin melancong ke luar negara, masih belum dibenarkan kerana sempadan negara masih ditutup.

Lihat Komen
ADS