Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM jalankan tugas dengan baik, orang lain belum tentu - Mustapa

Ketika timbul pelbagai desas-desus politik termasuk kemungkinan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat, anggota Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed, sebaliknya meminta semua pihak memberi peluang kepada kerajaan untuk terus mentadbir negara.

Mustapa berkata, adalah penting sengketa politik diketepikan pada masa ini bagi membolehkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memulihkan semula ekonomi.

"Kita baru tiga bulan, adakah pasukan (kerajaan) baru dapat buat kerja dengan baik? Kalau saya tidak yakin. 

"Perdana menteri dah jalankan tugas dengan baik maka kita tumpu kepada masalah rakyat. Tidak ada kepastian orang lain boleh buat lebih baik.

"Kita lupakan (politik), untuk itu kita perlukan kesepaduan bersama. Perkara remeh-remeh itu kita ketepikan," jelasnya kepada media selepas melawat Pejabat Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (Ecer) di Pasir Mas, Kelantan, hari ini.

Beliau yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi politik negara pada masa ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pakatan Harapan (PH) kerap kali menyentuh mengenai pertukaran semula kerajaan, manakala Muafakat Nasional pula rancak memperkemaskan persiapan menghadapi pilihan raya umum PRU15.

Menurut sumber gabungan Umno dan PAS, di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini berlangsung mesyuarat jawatankuasa perundingan Muafakat Nasional bagi membincangkan agenda PRU15.

Menurut Mustapa, pada masa ini kerajaan memberi sepenuh perhatian untuk memulihkan ekonomi dan rakyat juga sudah muak dengan isu politik yang tidak berkesudahan.

"Kita harap hal politik kita dihentikan. Hal politik tunggu PRU untuk berperang semula.

"Kita tumpu ekonomi, rakyat di bawah dah muak. Rakyat nak diatasi masalah kesihatan. Kita bersyukur kerana waktu yang getir dah berlalu.

"Sekarang ini kita tumpu kepada usaha baiki ekonomi secara perlahan-lahan, 70 peratus rakyat dah kembali bekerja," katanya.

Lihat Komen
ADS