Sambutan Hari Pelarian Sedunia sudah dua kali berlalu sejak kerajaan mengumumkan persetujuannya untuk memberi perlindungan sementara kepada orang pelarian Rohingya, tetapi sehingga ini, ia belum lagi dilaksanakan, kata Labour Resource Centre (LRC).

Pada bulan April 2005, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Azmi Khalid berkata, dianggarkan 10,000 pelarian Rohingya di Malaysia akan dibenarkan bekerja manakala anak-anak mereka diberi pendidikan.

" Lebih setahun berlalu sejak kerajaan Malaysia membuat pengumuman tersebut bagi mengakhiri penderitaan pelarian Rohingya. Kami anggap usaha tersebut gagal menjadi kenyataan sepertimana yang kami harap-harapkan," kata Penyelaras LRC, K Shan dalam satu kenyataan hari ini.

Shan berkata, jika pengumuman Azmi itu dilaksanakan, ia mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pekerja di Malaysia di samping membantu kehidupan pelarian Rohingya di negara ini.

Pelarian Rohingyas merupakan masyarakat Islam yang tidak diiktiraf oleh kerajaan tentera Burma yang ia merampas kuasa di negara tersebut.

Terus menjadi mangsa

Ramai daripada mereka lari ke Malaysia dan bekerja secara haram kerana belum diberi status pelarian.

Shan yang bimbang dengan perkembangan tersebut berkata: "Dikhuatiri keadaan ini akan memberi kesan lebih buruk terhadap keadaan mereka dan akhirnya mereka bekerja terpaksa seperti hamba," katanya.

Berikutan ketiadaan perlindungan dan pengiktirafan sebagai orang pelarian, penduduk Rohingya kini menjadi mangsa perbuatan rasuah pihak berkenaan manakala anak-anak mereka menjadi mangsa sindiket peminta sedekah, tambahnya.

Oleh itu, Shan berkata, LRC menggesa kerajaan Malaysia supaya mematuhi prinsip perkongsian beban dan peraturan pelbagai pihak serta mengamalkan ketelusan dalam melaksanakan janjinya itu.

Katanya, kerajaan perlu bekerjasama dengan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan badan-badan hak asasi manusia dalam menangani keperluan, kebajikan dan hak pelarian Rohingya yang berada di Malaysia.

Malah, katanya, Malaysia perlu menggandakan usaha untuk menangani masalah pelarian dengan lebih tegas lagi berikutan pemilihannya menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia PBB. Terjemahan