Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail harap P Pinang ikut peraturan PKPP ditetapkan k'jaan pusat
Diterbitkan:  Jun 8, 2020 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berharap kerajaan Pulau Pinang dan negeri-negeri lain akan mengikut peraturan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Ismail berkata demikian sebagai respons terhadap ketua menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengatakan kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat majlis keselamatan negeri untuk mengkaji keputusan pelaksanaan PKPP.

"Saya pun tak faham statement ketua menteri Penang ni. Dia nak ikut akta mana? Yang pertama saya katakan bahawa PKPB yang diwartakan, peraturan-peraturan akan terbatal pada 9hb kerana kawalan baru PKPP akan diwartakan dan mula berkuatkuasa pada 10hb.

"Maka peraturan lama akan terbatal dengan sendiri. Jadi dia nak ikut yang mana? Tentulah kena ikut PKPP," jelasnya.

Ismail menegaskan hanya kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak yang mempunyai undang-undang berkaitan pengendalian penyakit berjangkit.

"Tapi negeri lain sudah tak ada. Oleh itu rujukan hanya satu iaitu Akta 342.

"Dan negeri tak boleh buat peraturan lain kerana mana-mana akta peraturan negeri yang bertentangan dengan federal akan terbatal dengan sendiri, jadi tak ada pilihan. Negeri perlu akur dengan Akta PKPP ini.

"Jadi saya harap kerajaan negeri, difahamkan mereka akan ada mesyuarat Rabu, akan guna pakai Akta 342 ini," jelasnya.

Sebagai rekod, Chow dalam kenyataan lain pada hari yang sama (7 Jun), mengatakan kerajaan negeri akan melaksanakan PKPP dan strategi itu sejajar dengan usaha mencapai keseimbangan antara kesihatan orang ramai dan mata pencarian mereka. 

Chow seterusnya menyatakan mesyuarat khas untuk melaksanakan PKPP di negeri itu akan diadakan esok (9 Jun).

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPP yang akan bermula pada 10 Jun. 

PKPP antara lain membolehkan orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial dan rekreasi.

Lihat Komen
ADS