Ketika usaha masih diteruskan untuk mencari juruterbang pesawat pejuang Hawk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang pada 31 Mei lalu , sebuah lagi pesawat pejuang TUDM itu membuat pendaratan kecemasan di pangkalan udara di Kuantan pagi ini.

Bagaimanapun, juruterbang pesawat berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian pada kira-kira jam 10.24 pagi tadi, selepas tayar mendarat jet berkenaan gagal berfungsi dan memaksa juruterbangnya membuat pendaratan segera.

Pesawat itu mengalami sedikit kerosakan kesan daripada pendaratan itu dan juruterbangnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Ini kejadian kedua dalam tempoh sebulan yang membabitkan pesawat pejuang Hawk milik TUDM. Pada 31 Mei lalu, sebuah pesawat Hawk dipercayai terhempas di laut selatan Mersing dan juruterbangnya Mejar Mohammad Rohaizan Abdul Rahman, 31, hilang selepas pusat kawalan terputus hubungan dengannya pada jam 4.37 petang.

Menurut Bernama, sehinga hari ini usaha mencari dan menyelamat gagal mengesan juruterbang itu. Kerajaan membeli 28 jet Hawk daripada Britain pada 1995.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Zainal Abidin Zin berkata, gerakan mencari juruterbang berkenaan masih diteruskan dengan menambah kaedah mencari menggunakan alat sensor.

"Apa yang dibimbangkan, sensor itu akan gagal mengesan jika pesawat tersebut terjunam ke perut laut dan diselaputi lumpur," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Halehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Sungai Buloh hari ini.

Zainal Abidin berkata operasi mencari kini memasuki hari ke-23.

"Usaha mencari akan diteruskan sehingga kita berpuas hati dan barulah kita akan berhenti," katanya.