Pemuda Gerakan tidak terniat untuk bersaing dengan MCA berikutan langkah terbarunya menubuhkan kaunter bantuan awam untuk membantu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi.

Sebaliknya, parti itu berharap langkah tersebut akan membuka peluang kepada pihaknya untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan MCA dalam membantu pelajar cemerlang yang gagal mendapat tempat di universiti awam, kata Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Hoo Saw Ho.

Katanya, tujuan utama parti itu semata-mata untuk membantu para pelajar yang menghadapi masalah melanjutkan pelajaran, dan bukannya untuk mencari publisiti.

"Peranan kita di sini ialah menyediakan lebih banyak ruang kepada pelajar membuat rayuan. Mereka boleh merayu melalui MCA dan mereka juga dialu-alukan membuat rayuan melaui saluran Gerakan. Ianya terserah kepada mereka," katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan, keputusan membuka kaunter bantuan berkenaan dibuat selepas mesyuarat Pemuda Barisan Nasional dengan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Kiat dua minggu lalu.

"Dalam mesyuarat tersebut, kita sepakat untuk bekerjasama di bawah Pemuda BN untuk mengumpulkan rayuan pelajar sebelum mengemukakannya kepada pihak kementerian," katanya.

Seluruh negara

Kaunter bantuan awam Gerakan itu, kata Hoo, tidak dibuka di kawasan pusat bandar sahaja tetapi juga akan turut membantu pelajar dari luar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kita telah menubuhkan kaunter berkenaan di ibu pejabat Gerakan di setiap negeri dan akan mula beroperasi pada 28 Jun ini. Kita berharap pelajar mengemukakan rayuan sebelum tarikh akhir 30 Jun yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

"Pada masa yang sama, kita akan bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai rayuan tersebut," katanya.

Bercakap mengenai isu lain, Hoo menyentuh mengenai kekeliruan berhubung penilaian pemilihan baru untuk melanjutkan pelajaran ek pusat pengajian tinggi awam yang menekankan kepada 10 peratus markah aktiviti kokurikulum dan 90 peratus markah akademik.

"(Kementerian perlu) menjelaskan dengan lebih terperinci lagi (mengenai penilaian berkenaan) dalam aktiviti kokurikulum. Pelajar dan ibu bapa mendakwa mereka tidak jelas bagaimana hendak mendapatkan markah 10 peratus tersebut. Mereka mahu penilaian itu dibuat dengan lebih telus lagi," jelasnya.

Berikutan penekanan Kementerian Pengajian Tinggi terhadap aktiviti kokurikulum itu, Hoo berkata, pelajar program matrikulasi mungkin menghadap masalah berbanding dengan pelajar tingkatan enam.

Katanya, ini kerana pelajar matrikulasi hanya mempunyai tempoh setahun untuk menyudahkan pengajain mereka dan mereka mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk aktiviti kokurikulum.

"Pelajar tingkatan enam pula mempunyai masalah satu setengah tahun sebelum menduduki peperiksaan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan). Oleh itu, mereka mempunyai lebih masa untuk aktiviti kokurikulum," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak kementerian akan mengambilkira perkara tersebut dan menguruskannya dengan lebih baik lagi demi kebaikan semua pelajar sama ada di tingkatan enam atau pelajar program matrikulasi. Terjemahan