Kementerian Pengajian Tinggi digesa menggunakan sistem penilaian tunggal dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pemuda DAP yang membuat gesaan itu berpendapat, penggunaan dwi-sistem iaitu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan matrikulasi bagi memasuki IPTA sekarang tidak relevan dan menimbulkan kontroversi.

Timbalan Pengerusi Pemuda DAP, Fong Po Kuan berkata, penggunaan dwi-sistem dipertikaikan kerana sering berlaku pelajar cemerlang gagal memasuki IPTA.

Beliau mendakwa, kontroversi berlaku setiap tahun kerana meritokrasi dalam dwi-sistem ini tidak tulen, tidak telus dan tidak adil sebab penilaian pelajar dibuat menggunakan sistem peperiksaan yang berbeza.

"Ini tidak adil kerana pelajar bumiputera akan menduduki matrikulasi sementara pelajar bukan bumiputera akan mengambil peperiksaan STPM," katanya yang juga ahli Parlimen Batu Gajah.

Dalam kenyataannya Fong berkata, jika matrikulasi lebih baik ia patut dilaksanakan kepada semua pelajar tanpa mengikut status bumiputera atau tidak, supaya mereka boleh dinilai menerusi satu sistem sahaja.

Katanya, jika tingkatan enam dan STPM lebih baik, semua pelajar patut mengambil peperiksaan STPM dan sistem matrikulasi dihapuskan.

Universiti luar negeri

"Selain itu ketidaktelusan dalam menawarkan kursus kepada pelajar juga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kekecewaan di kalangan pelajar," tambahnya.

Beliau berkata, kementerian patut berhenti menjustifikasikan ketidaktelusan dalam penawaran kursus dengan alasan pelajar bukan sahaja dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan tetapi juga prestasi dalam kokurikulum.

Sehubungan itu, Fong mahu Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan batas markah bagi setiap kursus yang ditawarkan bagi mengelakkan pelajar tersalah pilih kursus semasa mengisi borang permohonan memasuki IPTA.

Fong berkata, para pelajar perlu tahu batas markah berkenaan supaya pemohon yang gagal, dapat membandingkan kelayakan mereka dengan pelajar yang ditawarkan tempat.

"Amalan polisi dan sistem yang tidak adil dan tidak telus dalam pemberian biasiwa dan pemilihan pelajar ke IPTA, akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan boleh menjejaskan perpaduan kaum.

"Malah ia akan menggalakkan pengaliran keluar pelajar cemerlang apabila mereka diterima oleh universiti negara jiran yang bukan sahaja menawarkan kursus pilihan tetapi juga biasiswa," katanya lagi.

Fong berkata, jika keadaan ini berlaku, kempen menarik balik golongan profesional Malaysia di luar negara untuk pulang berkhidmat di tanahair sendiri, akan gagal.