Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ikmalrudin Ishak dilantik setiausaha SPR
Diterbitkan:  Jun 9, 2020 12:11 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Ikmalrudin Ishak dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuat kuasa 5 Jun, menggantikan Datuk Mohamed Elias Abu Bakar yang bersara wajib pada 30 Mei, demikian umum Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini.

Beliau berkata Ikmalrudin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan, perolehan, pengurusan Parlimen dan urusan pilihan raya.

“Semoga dengan pelantikan ini, beliau akan dapat memimpin Urusetia SPR dalam merancang, penyelaras dan melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan SPR dengan cekap dan berkesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikmalrudin, 49, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sosiologi/Antropologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 24 tahun dengan jawatan pertamanya sebagai Penolong Pengarah (Jabatan Agama Islam) di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Mac 1996.

Antaranya, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian (Pengurusan Dewan Parlimen), Timbalan Setiausaha (Pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya) dan Pengarah SPR Negeri Selangor.

Mohd Zuki bagi pihak kerajaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Elias atas jasa dan khidmat bakti kepada negara sebagai penjawat awam selama 37 tahun.

Sementara itu, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata Ikmalrudin dengan pengalaman yang luas dalam perkhidmatan awam diharap akan dapat memimpin urus setia SPR dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan SPR dengan cekap dan berkesan.

Menurutnya, Ikmalrudin berpengalaman hampir 10 tahun berkhidmat di SPR sebagai Timbalan Setiausaha (Pengurusan) di Ibu Pejabat SPR mulai 3 Jan 2011 dan Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor mulai 22 Jun 2015.

Azhar berkata SPR turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohamed Elias atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada SPR mulai 21 Mei 2018 hingga 30 Mei 2020 sebagai setiausaha suruhanjaya itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS