Yayasan Islam Sabah (YIS) menyokong gesaan Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash) supaya polis menyiasat dakwaan pembabitan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam skandal kad pengenalan (KP) palsu di Sabah.

Setiausaha Agung YIS, Raden Kakung berkata, polis ertanggungjawab"menyiasat perbuatan salah yang dilakukan oleh sesiapan sahaja, tidak kira sama ada ia dilaporkan secara rasmi atau hanya disiarkan dalam media".

Katanya, pihak berkuasa tidak patut mengenepikan isu tersebut memandangkan keseriusan tuduhan yang boleh menjejaskan imej sistem politik Malaysia.

Sambil menggesa pihak polis supaya mengambil pendekatan "adil dan saksama" dalam siasatannya, Raden berkata, pengadu yang mendedahkan skandal tersebut, juga mesti disiasat, terutama jika dakwaan itu tidak benar.

Raden menasihatkan Cash yang telah membuat laporan polis supaya menyiasat dakwaan tersebut supaya jangan bersikap memihak memandangkan ia ditubuhkan untuk melindungi hak pengguna.

Jika tidak, katanya, Cash akan berdepan dengan risiko dianggap sebagai badan yang "suka menakut-nakutkan'.

YIS dikatakan mendapat sokongan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh yang mana namanya turut disebut sebagai salah seorang bekas pemimpin negeri itu yang didakwa terbabit dalam skandal mengeluarkan KP kepada pendatang haram di Sabah.

Cabaran Cash

Pada 15 Jun lalu, anggota Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Chong Eng Leong dalam keterangannya kepada Jawatankuasa Parlimen Mengenai Integriti mendakwa wujudnya rancangan sulit yang dikenali sebagai 'Projek Mahathir' di mana 600,000 KP telah dikeluarkan kepada pendatang tanpa izin.

Beliau juga mendakwa, nama pendatang tanpa izin itu sebahagian besarnya dari selatan Filipina telah dimasukkan ke dalam senarai pengundi Sabah.

Mengulas kenyataan Raden, Setiausaha Agung Cash, Joshua Kong mencabar YIS supaya mengikut jejak langkah Cash membuat aduan polis bagi membuktikan ia benar-benar memandang berat perkara tersebut.

"Supaya adil kepada semua penduduk tempatan Sabah khasnya dan negara amnya, YIS mesti membuat laporan polis supaya dakwaan tersebut disiasat," kata Kong.

Kong juga berkata, YIS juga boleh membuat aduan polis terhadap Cash atas dakwaan sengaja menakut-nakutkan.

Sementara itu, akhbar tempatan di Sabah dipetik sebagai berkata Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Negara (APM), Laksamana muda Mohammad Nik sebagai berkata, adalah sukar untuk menyekat kebanjiran pendatang tanpa izin kerana 'kekurangan pengalaman, tenaga serta peralatan".

Katanya, agensi berkenaan akan melakukan yang terbaik sebaik untuk mengurangkan kebanjiran pendatang tanpa izin dari negara-negara ke Sabah. Terjemahan