Kakak mohon bedah siasat kedua sebab curiga lubang di kepala Nazrin
Kakak sulung kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini yang beliau serta dua lagi adiknya memohon bedah siasat kedua dijalankan selepas curiga dengan kesan lubang sebesar satu inci di kepala adik bongsunya itu.
Saksi pendakwaan ke-21 perbicaraan kes pembunuhan Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 63, berkata beliau dan adik-beradiknya juga curiga dengan hasil bedah siasat pertama yang mengatakan kematian Nazrin berpunca daripada komplikasi akibat letupan.
“Pada hari kejadian, saya ke bilik mayat di Hospital Kuala Lumpur untuk melihat jenazah adik saya (Nazrin), dan saya ternampak satu kesan lubang berdiameter satu inci pada bahagian kiri kepalanya. Ini menimbulkan kecurigaan kepada saya dan adik-adik yang lain.
“Kesan lubang berkenaan sangat elok bulatnya dan ia mustahil disebabkan oleh kecederaan letupan seperti yang ditulis dalam hasil bedah siasat,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.
Tambah Che Elainee, beliau juga hadir semasa proses penggalian semula kubur Nazrin pada Oktober 2018 susulan semakan semula kes kebakaran yang menyebabkan kematian adiknya itu ditukar kepada kes bunuh.
Sementara itu, dalam prosiding yang sama, mahkamah menetapkan 13 dan 14 Julai depan untuk pihak pembelaan membawa seorang pakar kebakaran dari Australia bagi membantu menyoal balas saksi pendakwaan ke-20, Edwin Galan Teruki.
Galan yang juga Pengarah Jabatan Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merupakan saksi pakar yang dibawa pihak pendakwaan dalam prosiding pada 15 Mei lepas.
Ab Karim berkata mahkamah tidak akan menangguhkan lagi prosiding perbicaraan berkenaan sekiranya pakar kebakaran dari luar negara itu, John Charles Plimsoll Horswell tidak hadir pada tarikh tersebut.
Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Perbicaraan bersambung Jumaat ini.
- Bernama

