Arahan kuarantin di rumah sebab kadar kes positif rendah - KKM
Keputusan membenarkan rakyat yang pulang dari luar negara menjalani perintah kuarantin di rumah dan bukan lagi pusat kuarantin disediakan kerajaan adalah kerana kes positif yang rendah telah direkodkan dalam kelompok tersebut, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu memberitahu pemberita hari ini bahawa hanya satu peratus yang disahkan positif dari kalangan 50,000 rakyat yang pulang.
Dari satu peratus, 0.8 peratus yang dikesan dari ujian saringan kali pertama. Manakala baki 0.2 peratus pula dikesan pada ujian saringan kali kedua yang dilakukan pada hari ke 13 perintah kuarantin setiap individu.
“Jadi dengan kadar rendah, kita rasa ada baiknya kuarantin di rumah,” kata Noor Hisham.
Tambahnya, pihak berkuasa juga menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memantau Pesakit dalam Pemantauan (PUS) menerusi telefon bimbit mereka.
Tambahnya, langkah ini dapat mengurangkan kos serta mengurangkan beban kerajaan untuk menanggung bayaran pusat kuarantin yang termasuk penggunaan hotel.
“Semua PUS dikehendaki daftar MySejahtera dan kuarantin di alamat didaftarkan seperti dalam aplikasi,” katanya.

MySejahtera merupakan aplikasi disediakan KKM sebagai platform untuk memantau penularan Covid-19.
Ia menampilkan beberapa ciri yang membolehkan pengguna membuat ujian penilaian kesihatan dan juga mengimbas kod QR di kawasan umum seperti pusat beli-belah dan restoran.
Ciri kod QR itu membolehkan pihak berkuasa mengesan kontak rapat pesakit positif sekiranya kes dikesan di sesuatu tempat yang telah dikunjungi pengguna.
Sementara itu, Noor Hisham berkata beliau yakin negara ini mampu memerangi wabak Covid-19 meskipun tiada vaksin.
Jelasnya, perkara itu dilakukan beberapa negara lain, termasuk New Zealand.
Bagaimanapun, Noor Hisham juga menegaskan bahawa ia tertakluk dengan kerjasama rakyat dalam mematuhi garis panduan yang disediakan KKM bagi membendung wabak tersebut.
“Yakinlah, kita dapat putuskan jangkitan walaupun tanpa vaksin.
“Kami sangat positif. Negara seperti New Zealand telah menghapuskan Covid-19. Hari ini beberapa virus seperti sindrom pernafasan akut (Sars) juga telah dihapuskan.
“Kita akan bergantung dan berharap agar rakyat masih patuh SOP. Hari ini juga kita telah membawa kes ke satu digit. Mungkin kita dapat sasar kes sifar,” katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

