Perhimpunan Agung MIC ke-60 bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan tumpuan kepada pertandingan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden antara penyandangnya Datuk S Subramaniam dengan pencabarnya Datuk G Palanivel.

Perhimpunan agung parti terbesar kaum India itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Seramai 1,441 anggota perwakilan akan mengundi memilih barisan kepimpinan parti itu.

Pemilihan MIC hari ini menyaksikan pertandingan antara paling hangat dalam parti itu sejak hampir dua dekad lalu. Palanivel adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Naib Presiden MIC.

Perebutan tiga jawatan Naib Presiden juga hangat yang membariskan tiga calon pilihan presiden yang berdepan empat pencabar mereka.

Tiga calon presiden bagi jawatan naib presiden ialah tiga calon presiden Datuk S Veerasingham (penyandang), Tan Sri K. S. Nijhar (penyandang) dan Setiausaha Agung MIC Datuk S. Sothinathan.

Keputusan dijangka 6.30 petang

Manakala empat pencabar mereka ialah ahli veteran MIC, Datuk M Muthupalaniappan; Ketua MIC Kuala Lumpur, Datuk V.K.K Teagarajan; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Si Rusa, E. Yohevel dan P. Tiagarasan, seorang calon yang kurang dikenali dari Klang.

Manakala 51 calon bertanding merebut 23 jawatan dalam CWC.

Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu memenangi jawatan presiden tanpa bertanding bagi penggal kesepuluh pada pemilihan presiden Mac lalu.

Pengundian bermula sebaik sahaja selepas Perdana Menteri merasmikan perhimpunan dua hari itu. Ia ditutup pada kira-kira jam 3 petang dan kertas undi telah dibawa ke pusat pengiraan.

Difahamkan pengiraan undi dijangka mengambil masa empat jam dan keputusan dijangka diumumkan kira-kira jam 6.30 petang.

Samy paling awal mengundi

Sementara itu, Samy Vellu yang terkenal dengan kelantangan dan suka mengarah, membuat keputusan mengejut dalam pemilihan MIC kali ini dengan menghindari dewan mesyuarat yang menjadi tempat 1,441 perwakilan mengundi.

Samy Vellu, yang merupakan antara yang terawal mengundi apabila pengundian bermula pagi ini, memutuskan bahawa beliau sepatutnya berada di luar dewan itu selepas beliau mengundi.

"Saya tidak mahu berada di dalam dewan kerana orang akan kata bahawa kehadiran saya akan mempengaruhi undi.

"Percayalah kepada saya, apabila saya kata semuanya dalam pemilihan ini dilakukan secara rahsia. Saya tidak tahu siapa yang berada di dalam pusat-pusat pengiraan atau siapa yang mendahului," katanya kepada Bernama.