Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melahirkan rasa penghargaannya terhadap kesetiaan pucuk pimpinan MIC menyokong kerajaan pimpinannya sekarang.

"Kepimpinan MIC sejak dahulu hingga sekarang tetap setia berjuang bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan rakyat dan negara. Saya juga menghargai sokongan penuh MIC terhadap kepimpinan kerajaan sekarang," katanya.

Abdullah berkata sungguhpun parti dalam komponen BN memperjuangkan kaum tertentu, tetapi apabila memikirkan soal kepentingan rakyat, adalah penting setiap parti bersepakat dan mempunyai haluan yang sama.

Justeru, katanya, konsep perkongsian kuasa diwujudkan dalam BN di mana semua keputusan adalah dengan secara persetujuan bersama atau konsensus bagi menentukan kepentingan setiap kaum diwakili dalam merancang agenda pembangunan negara.

"Ini penting kerana agenda terbesar negara sekarang ialah untuk mencapai matlamat Wawsan 2020 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, termasuk dalam membina modal insan yang berilmu dan mempunyai nilai peribadi yang baik agar negara dapat menghadapi cabaran di peringkat global," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-60 di PWTC pagi ini.

Bercakap kepada pemberta kemudiannya, Abdullah turut mengingatkan semua parti komponen(BN) supaya mempertahankan semangat pemuafakatan yang diamalkan selama ini bagi mencapai agenda pembangunan negara serta matlamat Wawasan 2020.

Menurut laporan Bernama, beliau juga mengingatkan pemimpin serta ahli semua parti komponen BN supaya sentiasa membina kekuatan parti masing-masing bagi menentukan segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan keturunan, akan mendapat manfaat daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Perkongsian kuasa

Katanya, sungguhpun parti komponen BN memperjuangkan golongan atau kaum tertentu seperti Umno, MCA dan MIC serta yang majoriti anggotanya terdiri daripada kaum tertentu, namun dalam mencapai agenda nasional seperti Wawasan 2020, semangat permuafakatan serta konsep perkongsian kuasa yang diamalkan selama ini hendaklah dipertahankan.

"Lazimnya parti-parti seperti ini sentiasa diminta supaya memperjuangkan apa-apa yang ada hubung kait dengan kaum tertentu, kebanyakannya ada hubungkait dengan ekonomi.

"Walaupun begitu, oleh kerana parti-parti ini berpakat dengan niat dan tujuan bahawa pakatan itu untuk kebaikan negara dan seluruh rakyat Malaysia dan kita berpakat dalam satu parti (BN), maka itu kekuatan parti ini mestilah dibina," katanya.

Beliau berkata untuk membina kekuatan itu, setiap parti hendaklah berpegang kepada matlamat memperjuangkan kepentingan negara dan rakyat.

"Jadi kalau apa-apa yang berlaku yang memerlukan tolak ansur, ia dilakukan dalam suasana muafakat dan inilah yang harus menjadi pegangan dan amalan parti komponen dalam BN dan buktinya, hari ini kita dapat memastikan hubungan kaum di Malaysia sentiasa berjalan dengan baik," katanya.

Mengenai pemilihan MIC, Abdullah berkata apa yang berlaku adalah satu amalan demokrasi yang menjadi tunjang setiap parti komponen dalam BN dan seharusnya ia memberi kekuatan dalam parti berkenaan.

"Ini menunjukkan bahawa pemimpin yang dipilih merupakan yang dikehendaki dalam parti dan oleh itu mereka yang dipilih hendaklah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jujur dan sempurna," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta pemimpin parti komponen BN yang lain turut menghadiri majlis perasmian itu.

Berdikari

Sebelum itu, dalam ucapannya, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata MIC menyokong penuh semua langkah yang diambil oleh Abdullah bagi memulihkan ketelusan dan urus tadbir yang baik dalam masyarakat Malaysia.

Menteri Kerja Raya itu menyeru masyarakat India supaya mewujudkan program yang kreatif dan inovatif bagi memperbaiki pencapaian mereka.

"Sikap terlalu berharap kepada kerajaan akan menimbulkan pergantungan dan menyebabkan kita kehilangan skop untuk memanfaatkan potensi dan kreativiti insan. Kita perlu seimbangkan antara tuntutan kita kepada kerajaan dan apa yang kita usahakan untuk masyarakat.

"Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu berusaha untuk berdikari. Kita perlu kembalikan keyakinan yang teguh dalam diri masing-masing dan meminimumkan pandangan bersifat negatif dan pesimistik yang mengetepikan nilai diri dan maruah kita," katanya.

Beliau berkata ramai anggota masyarakat India memiliki bakat serta kepakaran yang tinggi dan mereka ini perlu digalakkan supaya mengambil berat tentang nasib masyarakat mereka serta merangka program sosioekonomi yang bersifat lestari.

"Ahli profesional dan golongan peniaga dalam masyarakat India perlu menerajui usaha untuk merapatkan jurang yang ada dan mengendalikan program di pringkat akar umbi yang dapat memenuhi keperluan masyarakat, khususnya keluarga yang berpendapatan rendah," katanya.

Samy Vellu sambil menambah bahawa MIC telah melaksanakan program jaya diri yang mempunyai kesan berterusan terhadap kehidupan rakyat biasa yang diterajui oleh anggota masyarakat sendiri.