Kekecohan, kemarahan cemari pemilihan MIC
Pemilihan jawatan pucuk pimpinan MIC di perhimpunan agung parti tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini bermula dengan suasana kecoh dan mencetuskan kemarahan sesetengah anggotanya.
Pemilihan jawatan pucuk pimpinan MIC di perhimpunan agung parti tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini bermula dengan suasana kecoh dan mencetuskan kemarahan sesetengah anggotanya.
Pemilihan berkenaan diadakan bagi memilih pemegang jawatan tertinggi dalam parti berasaskan kaum India terbesar di Malaysia itu, kecuali bagi jawatan presiden, yang melibatkan 1,441 anggota perwakilan.
Menurut Bernama, kekecohan bermula apabila presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu mengumumkan bahawa hanya anggota perwakilan dibenar memasuki dewan utama di mana pengundian dijalankan.
"Semua yang bukan anggota perwakilan sila tinggalkan dewan ini. Jika anda tidak beredar, pemilihan ini akan dianggap tidak sah dan batal dan kita kena adakannya sekali lagi, jadi silalah tinggalkan dewan ini," katanya kepada beberapa ratus pemerhati yang duduk di dalam dewan berkenaan.
Pengumuman itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan hadirin dan mencetuskan suasana kecoh di pintu masuk utama Dewan Merdeka ketika pengundian sedang diadakan.
Laluan perwakilan dihalang
Beberapa pemerhati yang tidak berpuas hati dengan pengumuman Samy Vellu itu mula memekik sesuatu kepada beliau dan pada waktu yang sama, menghalang laluan anggota perwakilan yang ingin memasuki dewan itu.
Perbuatan ini menimbulkan kemarahan Samy Vellu yang sebelum itu menyerahkan podium kepada ketua Jawatankuasa Pemilihan MIC Datuk K. Vijayanathan.
Samy Vellu kemudian kembali semula ke podium untuk mengulangi seruannya tetapi kali ini dengan nada menyindir, beliau berkata: "Ada anggota perwakilan di luar sana yang ingin masuk, benarkan mereka masuk atau mereka akan ketinggalan penerbangan. Penerbangan ini tidak diadakan setiap masa, tapi hanya tiga tahun sekali."
Beberapa minit kemudian, pemerhati yang berada di luar dewan itu kembali bersikap tenang setelah menyedari kehadiran anggota polis dari Cawangan Khas bagi mengawal keadaan.
Perhimpunan itu diadakan bagi memilih seorang timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.

